Apabila Menolak Permintaan, Nabi Muhammad Menggantikan dengan Alternatif yang Lebih Tinggi Nilainya

Hadith rujukan:

Ali bin Abu Talib adalah menantu kepada Nabi Muhammad. Beliau melaporkan bahawa isterinya, Fatimah binti Muhammad, pernah meminta kepada ayahnya supaya dia diberi seorang pembantu rumah.

Nabi Muhammad menjawab dengan berkata, “Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah?

Apabila anakanda berdua pergi ke katil kamu, ataupun anakanda pergi ke tempat tidur kamu berdua, bacalah takbir 33 kali, dan baca tasbih 33 kali, dan baca tahmid 33 kali.

Itu adalah lebih baik bagi anakanda berdua daripada seorang pembantu rumah.”

– Hadith ini dipetik dari rekod hadith autentik dalam koleksi Bukhari

Situasi dalam hadith:

Fatimah mempunyai 2 orang anak kembar lelaki yang masih kecil manakala suaminya pula seorang lelaki yang miskin. Pada suatu masa Fatimah meminta pembantu rumah dari ayahnya.

Beliau tidak menolak permintaan Fatimah, tetapi beliau tidak dapat memberikan apa yang dimintanya.

Nabi Muhammad adalah seorang yang tidak pernah menolak harapan dan permintaan orang. Tetapi itu tidak bermakna segala yang diminta beliau berikan.

Ada masanya beliau tidak dapat memberikan apa yang diminta. Dalam hal begitu, beliau memberikan pengganti.

Situasi lazim:

Ada beberapa respon yang dapat diberikan apabila menerima permintaan orang:

  • Memberikan apa yang diminta.
  • Memberikan sebahagian daripada yang diminta.
  • Tidak menolak apa yang diminta, cuma tidak berdaya memberikannya.
  • Menolak apa yang diminta, kerana memang tidak setuju dengan permintaan itu.
  • Memberikan alternatif lain.

Risiko tidak memberikan apa yang diminta:

  • Berlaku kecederaan pada hubungan baik.
  • Timbul rasa kecewa, tidak puas hati dan hampa pada si peminta.
  • Hilang populariti dan sokongan.
  • Merosakkan dedikasi dan semangat kerja.
  • Menurunkan produktiviti.
  • Peminta yang kecewa memberikan reaksi negatif seperti tidak mahu memberikan kerjasama lagi.

Nabi Muhammad menunjukkan bagaimana caranya menolak permintaan tetapi pada waktu yang sama mencipta kesan positif ke atas orang yang permintaannya ditolak:

  • Orang itu tidak kecewa apabila permintaannya ditolak.
  • Dia berasa amat beruntung kerana diberikan sesuatu yang lebih berharga.

Teknik Nabi Muhammad:

Apabila Nabi Muhammad tidak memenuhi permintaan Fatimah, beliau menggantikan permintaan yang tidak dapat diberikan itu dengan sesuatu yang lebih murah tetapi lebih berguna dan lebih berharga.

Dalam kes ini, Fatimah meminta sesuatu yang bersifat material, yakni seorang pembantu, tetapi Nabi Muhammad memberikan sebagai gantinya suatu yang non-material, yakni suatu ilmu yang sangat tinggi nilainya namun sangat mudah menggunakannya.

Semasa menawarkan pengganti, Nabi Muhammad menyebutkan dengan jelas:

“Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah?….”

Di sini Nabi Muhammad menunjukkan pentingnya diberitahu lebih awal perkara yang akan ditawarkan itu adalah ‘lebih baik’. Kemudian baru diberikan tawaran itu.

Sebelum memberitahu barang ganti yang ditawarkan itu,

Nabi Muhammad bertanya dahulu: “Mahukah ayahanda beritahu….” Di sini Nabi Muhammad menunjukkan cara yang betul menawarkan barang ganti. Dengan bertanya “Mahukah ayahanda beritahu….”

Fatimah tidak berasa dirinya dipaksa menerima sahaja barang ganti itu.

Nabi Muhammad tidak menunggu sehingga Fatimah menjawab. Beliau terus menyambung ayatnya dengan memaklumkan barang ganti yang diberikan itu:

“Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah? Apabila anakanda berdua pergi ke katil kamu, ataupun anakanda pergi ke tempat tidur kamu berdua, bacalah takbir 33 kali, dan baca tasbih 33 kali, dan baca tahmid 33 kali. Itul adalah lebih baik bagi anakanda berdua daripada seorang pembantu rumah.”

Jika ditunggu Fatimah menjawab dahulu, besar kemungkinan Fatima akan menjawab dengan mengatakan dia tidak mahu barang ganti dan dia tetap mahukan seorang pembantu rumah. Memang lazimnya begitulah, orang yang meminta tidak mahu diberikan barang ganti lain.

Dalam ayat yang beliau ucapkan kepada Fatimah dan Ali, beliau menyebut frasa ‘lebih baik’ sebanyak 2 kali, sekali pada pembukaan tawaran dan sekali lagi pada penutup tawaran.

Perbezaan dengan amalan lazim: Lazimnya, apabila kita menolak permintaan kita menolak dengan melakukan dua perkara:

  • Tidak memberikan sebarang pengganti.
  • Jika diberikan pengganti, maka barang ganti itu adalah barang yang lebih murah.

Dalam hadith itu Nabi Muhammad memberikan barang ganti yang lebih murah tetapi nilainya sangat tinggi, sehingga Fatimah dan Ali berasa sangat puas hati meskipun permintaan mereka telah ditolak.

Namun yang lebih istimewa dalam hadith ini adalah Nabi Muhammad menunjukkan TEKNIK yang betul yang digunakan semasa memberikan barang ganti itu. Ali dan Fatimah menerima baik pengganti itu disebabkan cara Nabi Muhammad memberikannya itu sangat baik dan betul.

Mahu Belajar Lebih Lanjut Teknik Nabi Dalam Memimpin?

(KLIK Banner Di Bawah)

Ada soalan & pendapat? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Baca Artikel Kami Yang Lain