Apabila Nabi Muhammad Menolak Permintaan, Beliau Tidak Memberi Sebarang Janji

Ali bin Abu Talib adalah menantu kepada Nabi Muhammad. Beliau melaporkan bahawa isterinya, Fatimah binti Muhammad, pernah meminta kepada ayahnya supaya dia diberi seorang pembantu rumah.

Nabi Muhammad menjawab dengan berkata, “Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah?

Apabila anakanda berdua pergi ke katil kamu, ataupun anakanda pergi ke tempat tidur kamu berdua, bacalah takbir 33 kali, dan baca tasbih 33 kali, dan baca tahmid 33 kali.

Itu adalah lebih baik bagi anakanda berdua daripada seorang pembantu rumah.”

– Hadith ini dipetik dari rekod hadith autentik dalam koleksi Bukhari

Salah satu perkara yang sukar hendak dilakukan adalah menolak permintaan dari orang yang sangat dikasihi ataupun sangat dihargai kehadiran mereka.

Analisis Hadith

Ia menjadi lebih sukar dilakukan apabila kita berasa tidak sampai hati hendak menolaknya kerana perkara yang diminta itu adalah perkara yang sangat diperlukan.

Contoh orang yang dikasihi adalah pasangan, anak-anak, ibu bapa, adik beradik dan kaum kerabat.

Contoh orang yang sangat dihargai adalah pekerja dalam syarikat kita, pelanggan, orang-orang bawahan, anggota persatuan kita, para pengundi kita, penyokong-penyokong kita dan lain-lain.

Salah satu amalan lazim yang dilakukan apabila menolak permintaan adalah memberikan janji bahawa pada masa hadapan apabila keadaan mengizinkan maka kita akan berikan apa yang diminta.

Tujuan kita berjanji itu adalah bagi mengurangkan perasaan kecewa dan hampa. Hal seperti ini tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad.

Menolak permintaan dan kemudian memberikan janji boleh mencipta risiko lain:

i. Orang itu menjadi sangat mengharap-harapkan bahawa perkara yang dimintanya itu pasti diberikan.

ii. Semakin lama kita belum dapat memenuhi janji yang diberikan, semakin lama orang itu menunggu.

iii. Akibat lama menunggu orang itu boleh kehilangan semangat. Sepanjang tempoh dia menunggu-nunggu itu motivasinya jatuh.

iv. Kita mungkin terlupa bahawa kita pernah berjanji, lalu kita tidak memberikan apa yang diminta meskipun pada waktu itu kita sudah mampu.

Kita mungkin terlupa janji kita, tetapi orang itu tidak pernah lupa bahawa kita pernah berjanji kepadanya. Akibatnya lain kali dia tidak percaya lagi dengan cakap kita.

Mahu Belajar Lebih Lanjut Teknik Nabi Dalam Memimpin?

(KLIK Banner Di Bawah)

Ada soalan & pendapat? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Baca Artikel Kami Yang Lain