Bagaimana Cara Nabi Muhammad Mendorong Anak Buahnya Melakukan Kebaikan

Hadith ‘Uncang Duit’

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jarir bin Abdullah melaporkan, pada suatu hari beberapa orang Arab kampung datang berjumpa Nabi Muhammad dengan memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit binatang yang masih ada bulunya.

Apabila Nabi Muhammad melihat kemiskinan orang kampung itu beliau mengesyorkan supaya orang-orang yang ada mengeluarkan sedekah kepada mereka, tetapi anjuran Nabi Muhammad tidak diberikan perhatian serius sehingga menyebabkan tergambar emosi marah pada wajah beliau. Kemudian, ada seorang lelaki datang membawa uncang berisi duit.

Selepas itu datang lagi orang-orang lain, sehingga beliau kelihatan gembira. Kemudian Nabi Muhammad berkata,

“Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, kemudian perbuatannya itu menjadi teladan dan diikuti oleh orang-orang lain selepas itu,

Maka dia mendapat pahala sebanyak pahala-pahala yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan pahala mereka sedikit pun tidak dikurangi.

Sesiapa yang melakukan keburukan dalam Islam, kemudian diikuti oleh orang-orang lain selepas itu,

Maka dia mendapat dosa sebanyak dosa-dosa yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan dosa mereka sedikit pun tidak dikurangi.”

– Hadith No. 1859 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Intipati hadith:

  1. Apabila orang tidak memberi sokongan kepada cadangan yang baik, terangkan kelebihan melakukan kebaikan itu.
  2. Terangkan kelebihan dan keistimewaan menjadi orang pertama memberi sokongan.
  3. Apabila sedang marah ataupun gembira, tidak bercakap.

Aplikasi hadith:

  1. Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan strategi yang Nabi Muhammad gunakan apabila mahu mendorong sekumpulan orang ramai supaya melakukan kebaikan.
  2. Hadith ini adalah hadith motivasi bagi mendorong orang melakukan perkara baik, seperti bersedekah kepada orang-orang miskin.
  3. Tidak mengkritik, sebaliknya tunjukkan sahaja emosi tidak puas hati, kepada orang-orang yang belum tergerak hatinya melakukan perkara yang dianjurkan.
  4. Apabila ada orang pertama menyahut anjuran, berikan pujian dengan menerangkan besarnya kebaikan memulakan pekerjaan yang baik sehingga orang lain ikut melakukannya.
  5. Terangkan juga risiko besar memulakan pekerjaan yang tidak baik yang menjadi ikutan orang-orang lain.

Senario dalam hadith:

  1. Pada persitiwa itu ada beberapa orang kampung yang amat miskin datang berjumpa Nabi Muhammad. Beliau mengesyorkan kepada hadirin supaya bersedekah kepada orang-orang miskin itu.
  2. Apabila tidak ada sesiapa dalam kalangan hadirin yang ke hadapan menyahut kata-kata Nabi Muhammad itu dengan memberi sedekah, wajah beliau menunjukkan beliau marah. Tetapi beliau tidak bercakap apa-apa. Beliau diam sahaja.
  3. Apabila ada seorang daang ke hadapan dan memberi sedekah, kemudian barulah orang-orang lain ikut ke hadapan memberi sedekah.

Analisis hadith:

1. Hadith ini dilaporkan oleh Jarir bin Abdullah. Dia tidak mencatatkan lokasi peristiwa itu, sama ada di dalam masjid ataupun di tempat lain. Kita andaikan peristiwa ini berlaku di dalam masjid.

2. Peristiwa ini berlaku di tempat terbuka, di mana di situ ada ramai orang. Jarir tidak mencatatkan sebarang nama orang yang ada di situ waktu itu.

3. Pada persitiwa itu ada beberapa orang yang amat miskin datang berjumpa Nabi Muhammad. Jarir mencatatkan mereka itu sangat miskin kerana mereka memakai kulit haiwan yang masih ada bulunya.

4. Jarir bin Abdullah, tidak menyebut nama orang-orang itu. Ini bermakna dia tidak mengenali mereka.

5. Jarir mengatakan mereka adalah orang kampung. Jadi, kita dapat andaikan pada waktu itu orang kampung dikenali sebagai orang-orang yang sangat miskin, dan lazimnya menggunakan kulit haiwan sebagai bahan pakaian, dan bahawa pada masa agama Islam sudah sampai kepada orang-orang kampung di luar bandar Madinah.

6. Dalam teks hadith ini tidak dicatatkan sama ada orang-orang miskin itu berkata apa-apa kepada Nabi Muhammad dengan maksud meminta bantuan dari beliau.

7. Apabila melihat keadaan dan penampilan orang-orang miskin itu Nabi Muhammad terus mencadangkan kepada hadirin supaya bersedekah kepada mereka.

Berdasarkan andaian itu kita simpulkan bahawa Nabi Muhammad menunjukkan beliau tidak menunggu sehingga orang-orang miskin itu bercakap meminta bantuan barulah bantuan diberikan.

8. Data hadith ini juga tidak mencatatkan kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad semasa mencadangkan supaya hadirin bersedekah kepada orang-orang kampung itu.

9. Hadith ini menunjukkan dengan jelas bagaimana kata-kata Nabi Muhammad tidak semestinya terus dilaksanakan oleh mereka yang mendengar beliau bercakap.

Dari satu sudut, ini bermakna kata-kata Nabi Muhammad itu masih tidak cukup tinggi nilai pengaruhnya ke atas sesetengah individu.

10. Apabila tidak ada sesiapa di kalangan hadirin yang ke hadapan menyahut kata-kata Nabi Muhammad itu dengan memberi sedekah, wajah beliau menunjukkan beliau marah. Tetapi beliau tidak bercakap apa-apa. Beliau diam sahaja.

Dalam erti kata yang lain Nabi Muhammad tidak berkata apa-apa bagi meluahkan emosi marahnya. Sebagai contoh, beliau tidak berkata:

  • “Saudara-saudara tidak nampakkah siapa yang datang ini?” (SALAH)
  • “Tidakkah saudara-saudara mendengar apa yang saya katakan sebentar tadi?” (SALAH)
  • “Mengapakah tidak ada sesiapa yang mahu bersedekah kepada saudara segamanya yang sangat memerlukan?” (SALAH)

11. Selepas wajah Nabi Muhammad menunjukkan tanda-tanda beliau marah, barulah ada seorang datang ke hadapan menyahut seruan beliau. Orang itu menyerahkan seuncang duit.

12. Apabila lelaki pertama itu tampil memberi sedekah, beberapa perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad adalah:

i. Nabi Muhammad tidak memuji lelaki itu, dengan berkata:

  • “Bagus!” (SALAH)
  • “Kamu sangat bagus.” (SALAH)
  • “Macam itulah yang bagus.” (SALAH)
  • “Kamu memang orang yang baik hati.” (SALAH)
  • “Tahniah! Kamu memang budiman dan dermawan.” (SALAH)

ii. Nabi Muhammad tidak menyuruh orang-orang lain supaya ikut bersedekah macam lelaki itu, dengan berkata:

  • “Bagus! Bersedekahlah macam dia.” (SALAH)
  • “Perbuatannya patut dicontohi semua orang.” (SALAH)
  • “Ikut macam dia. Dia melakukan perbuatan yang sangat bagus.” (SALAH)
  • “Apa lagi yang ditunggu? Sudah ada yang memulakan. Bersedekahlah.” (SALAH)
  • “Kita sudah lihat orang pertama bersedekah. Jadilah orang kedua, ketiga, dan seterusnya.” (SALAH)

iii. Nabi Muhammad tidak membandingkan lelaki itu dengan hadirin, dengan berkata:

  • “Tengok dia. Dia pemurah.” (SALAH)
  • “Tengok dia. Dia tidak kedekut.” (SALAH)
  • “Tengok dia. Dia suka jadi orang pertama melakukan kebaikan.” (SALAH)
  • “Tengok dia. Dia pandai membaca air muka saya. Dia tahu tadi saya marah.” (SALAH)
  • “Tengok dia. Orang macam dia adalah contoh orang yang hatinya tidak terpaut pada harta bendanya.” (SALAH)

13. Pelapor hadith ini, Jarir bin Abdullah, tidak mencatat nama lelaki itu. Jadi, kita boleh andaikan bahawa Jarir tidak mengenali lelaki itu.

Ini bermakna lelaki itu bukan seorang yang rapat dengan Nabi Muhammad, sebab jika dia seorang yang rapat dengan beliau Jarir tentu tahu namanya.

14. Selepas lelaki itu membawa uncang duitnya kepada Nabi Muhammad, beberapa orang lagi ikut bersedakah. Nabi Muhammad tidak memuji mereka itu dengan berkata:

  • “Bagusnya.” (SALAH)
  • “Tahniah, kerana ikut bersedakah.” (SALAH)
  • “Saya suka sebab banyak yang bersedekah.” (SALAH)
  • “Saya memuji sikap mereka yang ikut besedekah.” (SALAH)
  • “Bagus! Bagus! Tahniah kepada saudara-saudara yang telah ikut bersedekah.” (SALAH)

15. Dari satu sudut, dapat diandaikan bahawa wajah Nabi Muhammad adalah faktor yang menyebabkan orang itu menyahut cadangan Nabi Muhammad itu, sebab selepas Nabi Muhammad bercakap tidak ada orang bangun memberi sedekah.

Hanya selepas wajah beliau berubah dan menunjukkan emosi marah barulah ada orang bangun menyerahkan uncang duitnya sebagai sedekah.

16. Dari satu sudut lain, dapat juga diandaikan bahawa emosi marah adalah salah satu elemen daya persuasi, oleh itu emosi dapat digunakan bagi mendorong perubahan tingkah laku orang lain. Namun emosi marah yang persuasif adalah emosi yang tidak diiringi oleh sebarang kata-kata.

17. Apabila sudah banyak orang ikut bersedekah, wajah Nabi Muhammad menunjukkan emosi gembira. Namun Nabi Muhammad tidak juga mengucapkan kata-kata bagi meluahkan emosi gembiranya.

18. Meskipun Nabi Muhammad berasa gembira, dalam peristiwa itu beliau tidak memuji mereka yang bersedekah dengan mengucapkan kata-kata pujian secara terus terang dan secara langsung kepada mereka.

Bagi memuji mereka yang bersedekah, beliau berkata: “Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, kemudian perbuatannya itu menjadi teladan dan diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat paha sebanyak pahala-pahala yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan pahala mereka sedikit pun tidak dikurangi. Sesiapa yang melakukan keburukan dalam Islam, kemudian diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat dosa sebanyak dosa-dosa yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan dosa mereka sedikit pun tidak dikurangi.”

19. Kata-kata Nabi Muhammad itu bukan memuji mereka yang bersedekah, sebaliknya beliau menerangkan hukum melakukan perkara baik, ataupun perkara tidak baik, yang menyebabkan perbuatan itu dicontohi oleh orang-orang lain.

Dari satu sudut, kata-kata itu adalah pujian secara tidak langsung sahaja kepada lelaki yang mula-mula datang membawa uncang duitnya.

20. Kata-kata pujian tak-langsung yang diucapkan oleh Nabi Muhammad itu tidak ditujukan secara spesifik kepada orang yang mula-mula menyerahkan uncang duitnya.

Kata-kata itu ditujukan kepada semua hadirin yang ada di situ, termasuk kepada orang-orang kampung ada ada di situ.

21. Kata-kata Nabi Muhammad itu mengandungi 2 bahagian:

i. Bahagian pertama memberitahu pahala besar berbuat kebaikan: “Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, kemudian perbuatannya itu menjadi teladan dan diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat paha sebanyak pahala-pahala yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan pahala mereka sedikit pun tidak dikurangi.” Ayat ini adalah ayat pujian sipi-sipi kepada orang yang mula-mula menyerahkan uncang duitnya.

ii. Bahagian kedua menerangkan risiko berbuat keburukan: “Sesiapa yang melakukan keburukan dalam Islam, kemudian diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat dosa sebanyak dosa-dosa yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan dosa mereka sedikit pun tidak dikurangi.” Ayat ini adalah ayat peringatan, ataupun ayat ancaman.

  1. Nabi Muhammad memuji dahulu perbuatan baik dengan menerangkan besarnya pahala yang diterima oleh orang yang melakukannya. Kemudian baru Nabi Muhammad menyebut risiko melakukan perbuatan buruk.
  2. Nabi Muhammad mengucapkan kata-kata peringatan itu kepada audiens yang terdiri daripada orang-orang baik belaka.
  3. Nabi menujukan kata-kata pujiannya secara umum kepada semua orang yang ada di situ.
  4. Sebagai kesimpulan, Nabi Muhammad tidak mendorong orang supaya bersedekah dengan cara mengkritik sikap kedekut mereka dengan berkata:
  • “Harta adalah ujian Allah kepada pemiliknya.” (SALAH)
  • “Orang kedekut adalah calon penduduk neraka.” (SALAH)
  • “Malanglah nasib orang yang tidak mahu berbuat baik.” (SALAH)
  • “Sesiapa yang tidak mahu berbuat baik adalah orang yang rugi.” (SALAH)
  • “Sikap tidak mahu berbuat baik adalah sikap orang yang bodoh, tidak bijak.” (SALAH)
  • “Orang kaya yang tidak suka bersedekah kepada jalan Allah akan diseksa di akhirat nanti.” (SALAH)
  • “Orang yang kedekut akan dicampakkan ke dalam neraka bersama-sama harta mereka.” (SALAH)

Nota tambahan:

Hadith ini dapat dijadikan panduan apabila bercakap dalam kempen-kempen di mana kita mengajak orang ramai supaya melakukan kebaikan.

Prinsip yang penting dalam hadith ini adalah:

i. Terangkan manfaat projek yang dijalankan, yakni terangkan kebaik-kebaikan yang akan diterima oleh mereka yang ikut serta dalam kempen itu.

Maklumat adalah sangat persuasif. Dengan memberikan maklumat berkenaan kelebihan sesuatu perkara, orang lebih terpengaruh melakukan perkara itu.

ii. Terangkan juga risiko, bahaya dan kerugiannya apabila kempen itu tidak menerima sambutan.

Mahu Belajar Lebih Lanjut Teknik Nabi Dalam Memimpin?

(KLIK Banner Di Bawah)

Ada soalan & pendapat? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Baca Artikel Kami Yang Lain