Beginilah Cara Nabi Memuji Pekerjaan Orang Kecil

Oleh: Ainon Mohd

Isu Semasa

Tugas paling utama para ketua dan pemimpin adalah mendorong anak-anak buah dan orang bawahannya supaya mereka bersemangat dalam menghasilkan kerja yang mencapai target, baik dari sudut kuantiti mahupun kualitinya.

Dalam amalan lazim, ketua-ketua memberi dorongan kepada orang bawahan yang prestasi kerjanya rendah dan tidak memuaskan hatinya.

Mereka dianggap pekerja yang bermasalah. Motivasi diberikan sebagai ubat bagi menyelesaikan masalah mereka.

Manakala orang bawahan yang sudah sedia rajin bekerja tidak didorong lagi atas asbab mereka dianggap bukan pekerja bermasalah, oleh itu mereka tidak perlukan ubat.

Ada salah faham berkenaan motivasi kerja di mana dorongan dianggap hanya perlu diberikan kepada pekerja yang prestasinya rendah sahaja.

Objektif tugas mendorong anak-anak buah dan orang bawahan adalah:

1. Mengekalkan prestasi tinggi dan cemerlang.

Individu yang prestasinya sudah cemerlang perlu didorong supaya dia terus bersemangat mahu mengekalkan prestasinya yang sudah cemerlang itu.

Motivasi kerja adalah sejenis emosi. Sifat emosi boleh turun naik, boleh patah, dan boleh hilang sama sekali.

Individu yang cemerlang sekalipun tetap memerlukan dorongan dari ketuanya.

Ini kerana boleh berlaku di mana prestasi yang cemerlang itu mungkin menurun.

Dari waktu ke waktu ketua-ketua perlu memberi dorongan kepada orang bawahannya yang sudah cemerlang supaya mereka terus cemerlang.

2. Meningkatkan prestasi sederhana.

Individu yang prestasinya sederhana, yakni setakat cukup-cukup sahaja, dia perlu didorong supaya mahu berusaha meningkatkan prestasinya menjadi baik dan seterusnya menjadi cemerlang.

Golongan prestasi sederhana adalah golongan majoriti dalam mana-mana kumpulan.

Atas faktor jumlah dalam kumpulan sederhana adalah yang paling banyak, apabila prestasi kumpulan ini dapat dinaikkan, prestasi bersama sebagai satu kumpulan mudah mencapai tahap cemerlang.

3. Menaikkan prestasi rendah.

Individu yang prestasinya masih rendah perlu didorong supaya mahu berusaha meningkatkan prestasinya yang rendah itu.

Dalam suatu hadith Nabi ada menunjukkan cara mendorong seorang individu  yang sudah bagus sikap dan tingkah lakunya.

Hadith ‘Hadith ‘Perempuan dan Wangian’

Anas melaporkan Rasulullah pernah ternampak kesan ludah kering melekat di dinding masjid. Beliau marah sehingga wajah beliau merah. Kemudian datang seorang wanita Ansar, lalu dia membuang kesan ludah itu. Kemudian dia menyapukan wangian di tempat kesan ludah itu. Nabi berkata, “Alangkah bagusnya perbuatan itu!” –  Al-Nasa’i dan Ibnu Majah.

Ulasan

Hadith ‘Perempuan dan Wangian’ itu adalah salah satu hadith psikologi yang banyak kegunaan praktikalnya bagi para ketua dan pemimpin.

Dalam hadith itu Nabi menunjukkan cara yang betul memberikan pujian kepada anak buahnya yang biasa-biasa, yakni dia bukan seorang yang berkedudukan tinggi dalam kumpulan.

Dalam kumpulan yang banyak anggotanya, ada masanya ketua tidak kenal semua anak buahnya.

Dalam hadith ‘Perempuan dan Wangian’ itu, Anas yang melaporkan hadith itu pun tidak kenal perempuan yang diberi pujian oleh Nabi.

Anas hanya menyebut ‘ada seorang perempuan Ansar’ sahaja.

Anas tidak menyebut nama perempuan itu. Itulah buktinya beliau tidak mengenali siapa perempuan Ansar itu.

Barangkali pada masa itu gaya penampilan luaran perempuan Ansar tidak sama macam penampilan perempuan Muhajirin.

Kemungkinan besar, apabila Anas tidak kenal perempuan itu maka Nabi pun tidak kenal.

Dari situ dapat disimpulkan bahawa perempuan itu tidak mempunyai kedudukan istimewa dalam kalangan anak-anak buah Nabi. Andainya dia orang penting, tentu Anas mengenalinya dan menyebut namanya dalam hadith itu.

Dalam bahasa lain, perempuan itu adalah anggota biasa-biasa sahaja dalam kalangan anak-anak buah Nabi.

Biarun perempuan itu tidak mempunyai kedudukan istimewa dalam kumpulan, namun dia mempunyai personaliti yang sangat bagus.

Ciri personaliti perempuan itu:

a. Dia mempunyai EQ tinggi. Dia dapat membaca emosi pada wajah ketuanya, yakni Nabi.

b. Dia pintar. Dia dapat berfikir dan mencipta solusi bagi meredakan situasi.

c. Dia seorang yang mempunyai daya usaha atau inisiatif. Dia tidak perlu disuruh, dia boleh berfikir sendiri tindakan yang dia dapat dilakukannya.

d. Dia seorang yang ringan tulang, suka menolong, baik hati, pemurah, sanggup berkorban dengan menggunakan hartanya bagi menjaga kepentingan orang ramai. Dia menggunakan minyak wangi miliknya untuk menyelesaikan masalah awam.

f. Dia seorang yang kaya, atas faktor dia mampu mempunyai minyak wangi. Pada masa itu minyak wangi amat mahal harganya.

g. Dia seorang yang mempunyai self-confidence atau kepercayaan diri yang sangat tinggi. Walaupun dia perempuan, dia berani ke depan menyelesaikan masalah, padahal waktu itu banyak lelaki sahabat-sahabat Nabi ada di situ.

h. Dia seorang yang aktif bermasyarakat. Dia tidak memerap diri di dalam rumah sahaja, dia pergi solat di masjid.

Aplikasi Hadith

Hadith ‘Perempuan dan Wangian’ ini sesuai diaplikasi dalam kes menyelesaikan masalah yang kecil, yang tidak membahayakan keselamatan dan nyawa.

Pada prinsipnya, hadith ini diaplikasi apabila ketua mahu melakukan perkara di bawah:

1. Menghargai dan mengiktiraf perbuatan anak-anak buah ataupun orang bawahan yang melakukan kerja sukarela di luar tugas rasmi mereka. Dalam kes hadith ini, secara lazimnya kerja-kerja membersihkan dinding bangunan bukanlah kerja orang perempuan.

2. Menghargai orang kecil yang membantu menyelesaikan masalah.

3. Menghargai hasil kerja-kerja kecil yang dilakukan oleh orang-orang kecil.

SOP Menyelesaikan Masalah Kecil

Dalam hadith ‘Perempuan dan Wangian’ itu, masalah yang diselesaikan adalah masalah menjaga kebersihan bangunan.

1. Apabila marah, ketua tutup mulut, ketap bibir, jangan cakap apa-apa. Jangan luahkan emosi dengan cara bercakap marah-marah ataupun membebel kepada anak-anak buah.

2. Tunjukkan emosi marah pada muka sahaja, biar sampai muka naik merah. Anak-anak buah akan tahu ketua sedang marah dan punca yang membuat dia marah.

3. Ketua tidak berfikir sendiri bagi menyelesaikan masalah itu.

Dalam hadith itu Nabi tidak menyuruh sesiapa supaya buat itu, buat ini bagi membuang kesan ludah itu.

4. Ketua membiarkan anak-anak buah fikir sendiri apa yang mereka dapat lakukan bagi menyelesaikan masalah itu.

Dalam bahasa pengurusan modern, Nabi delegate sahaja tugas berfikir dan menyelesaikan masalah itu kepada anak-anak buahnya.

5. Jangan disiasat siapa yang menyebabkan masalah itu. Fokus pada solusi sahaja.

Dalam hadith itu Nabi tidak siasat siapa yang berludah ke dinding masjid itu.

6. Apabila anak buah sudah selesaikan masalah itu, puji perbuatannya itu serta-merta, on the spot, tidak ditangguh-tangguh.

SOP dan Teknik Memuji Orang Bawahan

1. Apabila kerja baik itu dilakukan secara terbuka, pujian mestilah diucapkan secara terbuka juga.

Biar semua orang boleh nampak dengan mata sendiri kerja baik yang dipuji itu, dan kata-kata pujian yang diucapkan.

Manfaat cara yang Nabi tunjukkan itu:

i. Memuji dengan cara terbuka itu ia menghindari daripada timbulnya fitnah si ketua pilih kasih ataupun si anak buah itu pandai membodek si ketua.

ii. Semua yang ada di situ tahu ciri-ciri perbuatan yang disukai oleh ketua mereka. Dengan itu mereka tahu bagaimana cara yang betul menyukakan hati si ketua.

2. Pujian itu diucapkan serta-merta, tidak ditangguh-tangguhkan ke masa lain. Di situ kerja baik itu dibuat, di situ juga pujian diberikan, on the spot.

3. Pujian itu diucapkan dengan suara yang kuat dan jelas, semua yang ada di situ dapat mendengar, bukan dengan berbisik-bisik.

4. Gunakan sepotong ayat sahaja.

Kata Nabi: “Alangkah bagusnya perbuatan itu.”

Jangan memuji berjela-jela. Contohnya, jangan berkata: “Wah! Baguslah kamu. Saya suka orang macam kamu. Kamu pandai fikir sendiri apa nak buat. Tak payah tunggu sampai saya suruh, kamu sudah tahu buat sendiri.”

5. Jangan memuji diri si orang yang dipuji itu.

Sebagai contoh jangan memuji dengan berkata: “Alangkah bagusnya perempuan itu.” Kata-kata pujian macam itu salah.

Pujian macam itu adalah memuji diri si perempuan itu. Kita mengatakan perempuan itu yang bagus, bukan perbuatannya yang bagus.

6. Puji pekerjaan baik yang dibuatnya. Kata Nabi: “Alangkah bagusnya perbuatan itu.”

Nabi tidak memuji perempuan itu yang bagus. Nabi memuji perbuatannya yang bagus.

Contoh pujian yang salah, di mana yang dipuji adalah diri orang itu:

“Kamu bagus.” (SALAH)

“Kamu pandai.” (SALAH)

“Kamu cantik.” (SALAH)

“Saya bangga dengan kamu.” (SALAH)

7. Apabila si ketua adalah lelaki, dan dia mahu memuji anak buah perempuan yang tidak dikenalinya, jangan disiasat latar belakang perempuan itu.

Contoh:

Jangan bertanya kepada perempuan itu: “Siapa nama kamu?” ataupun “Kamu sudah kahwin?”

Pertanyaan macam itu boleh dipandang serong. Ia membayangkan si ketua mempunyai minat di luar urusan rasmi terhadap perempuan itu.

Jangan juga ditanyakan kepada orang lain: “Siapa nama dia itu?” ataupun “Dia itu sudah berkahwin?”

Pertanyaan macam itu amat tidak manis, dan mengundang hilangnya rasa hormat.

Penutup

Mana-mana ketua dan pemimpin yang suka memuji anak-anak buahnya dan orang bawahannya, pemimpin macam itu dapat menaikkan semangat kerja mereka.

Hasil kerja-kerja besar yang dibuat oleh anak buahnya dipuji. Hasil kerja-kerja kecil pun dipuji.

Ke mana sahaja ketua dan pemimpin macam itu pergi, atas urusan apa sahaja dia kebetulan berada di tempat itu, asal sahaja dia ternampak ada hasil kerja yang baik, dia terus puji.

Share Artikel Ini.

Share on facebook
Share di Facebook
Share on whatsapp
Share di Whatsapp
Share on telegram
Share di Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *