Beginilah Caranya Nabi Menerima Aduan dan Rungutan dari Anak Buahnya

Oleh: Ainon Mohd

Isu Semasa

Salah satu tugas ketua ataupun pemimpin adalah mendengar aduan dan rungutan dari anak-anak buah dan orang-orang bawahannya.

Tugas mendengar aduan dan rungutan adalah beban sosial. Makin banyak aduan dan rungutan yang diterima, makin berat bebanan itu.

Kesan negatif mendengar aduan dan rungutan:

1. Aduan dan rungutan adalah salah satu sumber stress di tempat kerja.

2. Stress menurunkan produktiviti.

3. Stress itu boleh terbawa-bawa ke dalam kehidupan di luar waktu kerja.

4. Stress juga menjadi punca banyak penyakit yang serius.

Biarpun mendengar aduan dan rungutan menimbulkan banyak kesan negatif, namun sesi mendengar aduan dan rungutan adalah tugas rasmi yang terpaksa dipikul oleh ketua dan pemimpin.

Contoh:

1. Pegawai kerajaan perlu turun ke padang berjumpa dengan klien jabatannya, banyak hadirin mengemukakan pandangan, cadangan, ataupun masalah yang mereka alami.

2. Pucuk pimpinan syarikat perlu mengadakan townhall meeting dengan semua pekerja, maka akan ada pekerja yang mengemukakan rungutan.

3. Orang politik perlu hadir dalam majlis bersama rakyat, memang banyak yang akan bangun bercakap menyampaikan perasaan tidak puas hati mereka dan komplen itu ini.

Kesan positif mendengar aduan dan rungutan:

1. Kepada orang-orang bawahan, salah satu ciri ketua yang bagus adalah ketua itu memberi mereka peluang membuat aduan dan rungutan.

2. Banyak masalah dapat diselesaikan apabila ketua sendiri turun ke padang bagi mendengar aduan dan rungutan.

Apabila aduan dan rungutan anak-anak buah dan orang bawahan tidak didengar, tidak diberi respon, tidak diambil tindakan, mereka akan mempunyai persepsi negatif terhadap ketua dan pemimpin.

Kesan positif ketua mendengar aduan dan rungutan:

1. Ada kajian di Barat yang mendapati, ketua yang mendengar anak buah bercakap sampai habis dipersepsi sebagai ketua yang layak menjadi ketua.

2. Dalam kajian lain didapati anak buah yang mengadu ataupun memberi pandangan, apabila ketuanya mahu mendengar dia bercakap, dia puas hati meskipun aduan dan pandangannya tidak diambil tindakan.

Dalam sebuah hadith Nabi ada menunjukkan cara betul mendengar rungutan anak-anak buah.

Dengan menggunakan cara yang betul mendengar aduan dan rungutan, stress dapat dikawal ataupun dielakkan.

Nabi adalah seorang yang banyak mendengar aduan dan rungutan. Namun beliau tidak mengalami penyakit yang berpunca daripada stress kerja akibat banyak mendengar aduan dan rungutan.

Hadith ‘Imam Solat Panjang’

Abu Mas’ud melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang berjumpa Nabi. Lelaki itu berkata, “Wahai Rasulullah! Demi Allah, saya tidak solat subuh berjamaah kerana Si Fulan memanjangkan bacaan waktu dia menjadi imam.” Menurut Abu Mas’ud, dia belum pernah nampak Nabi begitu marah semasa memberi nasihat. Nabi berkata, “Ada orang dalam kalangan saudara yang menyebabkan orang lain tidak suka hendak melakukan perkara baik. Sesiapa yang menjadi imam, pendekkanlah. Ada antara mereka itu orang yang lemah, yang sakit, dan ada pula yang mempunyai urusan mendesak.”  – Sahih Bukhari

Ulasan

Dalam hadith ‘Imam Solat Panjang’ itu, seorang makmum datang berjumpa Nabi dan mengadu berkenaan perbuatan imamnya.

Makmum itu tidak puas hati dengan cara imam solat subuhnya menjalankan tugasnya sebagai imam.

Dalam aduannya kepada Nabi dia memberitahu imam itu suka membaca bacaan yang sangat panjang, sampai dia tidak mahu pergi solat subuh di belakang imam itu.

Beberapa aspek yang menarik dalam peristiwa itu:

1. Si pengadu itu adalah seorang orang kecil. Abu Mas’ud yang melaporkan peristiwa itu pun tidak mengenali orang itu. Beliau tidak tahu nama orang itu.

2. Si pengadu itu tidak bercakap terus kepada imam solat subuh itu. Sebaliknya dia membuat aduan kepada orang atasan yang jawatannya lebih tinggi lagi iaitu Nabi.

Hadith ‘Imam Solat Panjang’ itu menunjukkan:

1. Meskipun Nabi seorang pemimpin besar namun orang-orang kecil pun berani mengadu kepada beliau, dan beliau mahu mendengar aduan dari orang-orang kecil.

2. Pemimpin yang efektif adalah ketua yang mahu mendengar aduan dan rungutan dari orang-orang bawahan dari lapisan yang paling bawah.

Dalam situasi hari ini, peristiwa dalam hadith itu ada persamaan dengan situasi di mana orang-orang bawahan mengadu berkenaan cara-cara ketua mereka membuat kerja sampai orang bawahan mengalami kesusahan.

Dua pengajaran untuk ketua dan pemimpin dalam hadith itu:

1. Beri peluang anak-anak buah dan orang bawahan mengadu secara langsung kepada pucuk pimpinan.

2. Beri peluang mereka mengadu perkara yang mereka tidak puas hati berkenaan cara ketua mereka menjalankan tugas yang menyusahkan orang bawahan.

Dalam hadith ‘Imam Solat Panjang’ itu, ada 2 kategori respons dari Nabi apabila mendengar anak buahnya membuat aduan:

1. Perkara-perkara yang Nabi tidak lakukan.

Perkara-perkara yang Nabi tidak lakukan itu penting diketahui dan dielakkan.

Maksudnya, sebagai ketua kita jangan buat perkara-perkara itu. Andainya kita lakukan kita akan mengalami stress.

2. Perkara-perkara yang Nabi lakukan.

Perkara-perkara yang Nabi lakukan itu dapat mengurangkan stress biarpun kita banyak mendengar aduan dan rungutan.

Di bawah ini adalah perkara-perkara yang Nabi tidak lakukan semasa menerima aduan dari anak buahnya:

1. Dalam peristiwa itu Nabi tidak mempersoal sama ada orang yang mengadu itu berkata benar ataupun dia berdusta.

Nabi tidak bertanya kepada si pengadu soalan yang menunjukkan beliau meragui aduannya itu.

Contohnya, Nabi tidak bertanya: “Betulkah apa yang kamu cakap itu?”

Implikasinya, apabila ada orang mengadu kepada kita, kita jangan persoal kebenaran aduannya.

Sekalipun kita curiga dan meragui kebenaran perkara yang diadukannya itu, kita diam sahaja, simpan dalam hati, tidak diucapkan.

Maksudnya, kita jangan tunjukkan bahawa kita curiga dan meragui sejauh mana si pengadu itu berkata benar.

2. Nabi tidak menyiasat bagi membuktikan apakah aduan itu benar ataupun fitnah.

Bukti Nabi tidak menyiasat adalah:

a. Nabi tidak menyuruh orang pergi memanggil imam itu datang supaya dapat disoal bagi menyiasat sama ada aduan itu benar ataupun fitnah.

b. Nabi tidak memanggil saksi-saksi lain bagi memastikan aduan itu benar.

Selepas mendengar aduan itu, Nabi mengeluarkan arahan supaya para imam memendekkan bacaan dalam solat, namun Nabi tidak menyuruh sesiapa pergi menyampaikan arahannya itu kepada imam si pengadu.

Arahan Yang Nabi buat itu adalah untuk semua imam, bukan khusus untuk imam itu seorang.

Dapat disimpulkan bahawa tanpa menyiasat kebenaran sesuatu aduan itu Nabi tetap dapat memberi respon yang betul kepada perkara yang diadukan.

SOP Mendengar dan Respons kepada Aduan dan Rungutan

1. Apabila orang sedang bercakap membuat aduannya, dengar sampai habis orang itu bercakap.

2. Tidak mempersoal sama ada aduan itu betul ataupun fitnah.

3. Tidak menyiasat kebenaran perkara yang diadukan.

4. Apabila aduan itu menyebabkan kita marah, boleh tunjukkan emosi marah pada muka kita sampai orang-orang yang ada tahu bahawa kita marah.

5. Walaupun marah, namun tidak boleh bercakap dengan cara marah-marah.

6. Apabila aduan itu adalah berkenaan ketuanya, kita respon dengan tidak menyebut nama si ketuanya itu.

7. Apabila si pengadu mengkritik cara ketuanya menjalan tugas, beritahu sahaja cara kerja yang betul.

8. Respon yang berikan itu mesti ditujukan kepada semua ketua secara umum, bukan ditujukan kepada mana-mana ketua secara spesifik.

9. Konten respon Nabi diberikan dalam 2 potong ayat. Bukan respon yang panjang berjela-jela. Bukan respon yang mengulas-ulas problem yang diadukan.

i. Ayat pertama adalah ayat prinsip. Ayat itu menerangkan perbuatan yang salah.

Nabi berkata: “Ada orang dalam kalangan saudara yang menyebabkan orang lain tidak suka hendak melakukan perkara baik.

Kesalahan itu adalah: ‘…menyebabkan orang lain tidak suka hendak melakukan perkara baik.’

ii. Ayat kedua adalah ayat spesifik. Ayat itu memberikan contoh sebenar perbuatan yang salah dan perbuatan yang betul.

Nabi berkata: “Sesiapa yang menjadi imam, pendekkanlah, ada antara mereka itu orang yang lemah, yang sakit, dan ada pula yang mempunyai urusan mendesak.”

Contoh spesifik itu adalah: Imam solat yang memanjangkan bacaan dalam solat.

Perbuatan yang betul: Memendekkan bacaan dalam solat.

Share Artikel Ini.

Share on facebook
Share di Facebook
Share on whatsapp
Share di Whatsapp
Share on telegram
Share di Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *