Contoh Aplikasi Hadith ‘Abu Bakar Masuk Syurga’ dalam Sesi P & P oleh Puan Khairulaniza

Hadith rujukan: ‘Abu Bakar Masuk Syurga’

Abu Hurairah melaporkan bahawa pada suatu masa Nabi Muhammad pernah bertanya: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya.”

Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab, “Saya.”

Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?” Abu Bakar menjawab, “Saya.”

Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Saya.”

Lalu Nabi Muhammad berkata: “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.”

– Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Laporan eksperimen oleh Puan Khairulaniza:

Saya sentiasa cuba membina soalan-soalan akhlak bagi menaikkan self-esteem pelajar-pelajar saya. Saya juga mahu semua pelajar angkat tangan ketika disoal.

Namun ada kalanya tiada ramai pelajar yang angkat tangan ketika disoal dengan soalan akhlak yang saya tanyakan.

Misalnya, soalan: “Siapa yang keluar rumah dengan niat hendak belajar?”

Rupa-rupanya, tidak ramai pelajar dalam kelas 5 Pandai yang mempunyai niat mahu belajar. Walau bagaimanapun, saya tanya juga soalan akhlak yang sama pada keesokan harinya.

Saya yakin, akan lebih ramai pelajar yang angkat tangan apabila ditanya soalan akhlak yang sama. Saya pasti apabila di penghujung soalan saya nyatakan kebaikan berniat untuk belajar, pelajar-pelajar saya terdorong mahu memasang niat tersebut.

Kata saya: “Seseorang yang berniat mahu belajar ketika menuju ke sekolah, pahala yang kamu dapat adalah sama seperti seseorang itu mati syahid kerana memperjuangkan Islam.”

Pelajar yang suka dirinya dipanggil dengan nama ‘Abang Long’ nampak terlopong dan kelihatan seolah-olah dia berasa kagum dengan impak berniat mahu belajar.

Jadi, seperti yang dirancang, saya mulakan kelas dengan menggunakan teknik soalan semua pelajar dapat angkat tangan juga.

Berdasarkan hadith ‘Abu Bakar Masuk Syurga’, salah satu jenis soalan yang Nabi Muhammad tanyakan kepada mereka yang ada bersama-sama beliau adalah soalan akhlak. Contoh soalan akhlak yang beliau pernah tanyakan adalah:

  1. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?”
  2. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?”
  3. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?”
  4. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?”

Pada hujung sesi soal-jawab itu Nabi Muhammad berkata: “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.”

Pagi itu, ketika saya masuk ke dalam kelas 5 Pandai, saya bertanya: “Siapakah yang pagi tadi keluar rumah dengan niat hendak belajar?”

Saya lihat sudah ramai pelajar yang mengangkat tangan berbanding hari sebelumnya. Abang Long juga angkat tangan. Barangkali dia teringat tentang hal mati syahid yang saya terangkan semalam.

Dengan nada bangga, Abang Long berkata, “Saya, cikgu!” Dia tersengih-sengih. Saya pula tersenyum.

Selepas itu, saya tanya pula soalan akhlak yang lain. Tanya saya: “Siapa yang bersalam dengan ibu ataupun bapa, ataupun kedua-duanya sebelum keluar rumah?”

Pelajar yang mengangkat tangan tidak ramai. Saya rasa memang bukan budaya budak India dan Cina berbuat demikian. Biarpun tidak ramai mengangkat tangan saya tidak terkilan.

Saya mahu memuji pelajar yang berbuat kebaikan dengan harapan mereka terdorong untuk melakukan perbuatan tersebut, manakala pelajar-pelajar lain turut terdorong melakukan amalan yang sama pada masa akan datang.

Kata saya, “Kamu telah melakukan kebaikan ketika berniat mahu belajar apabila keluar dari rumah dan ketika bersalam dengan ibu bapa. Kamu menggembirakan hati ibu bapa kamu. Tentunya kamu mendapat pahala dari Allah.”

Bayangkanlah betapa gembiranya saya kerana pelajar-pelajar yang mengangkat tangan begitu gembira mendengar kata-kata saya. Malah pelajar yang tidak mengangkat tangan turut terdorong mahu melakukan tindakan yang sama.

Kata Vanesh, “Cikgu, esok saya akan niat mahu belajar masa datang ke sekolah!”

Saya ketawa mendengar kata-kata Vanesh itu. Pelajaran hari itu berjalan lancar. Pelajar-pelajar saya gembira mahu belajar.

Mahu Belajar Lebih Lanjut Teknik Nabi Dalam Memimpin?

(KLIK Banner Di Bawah)

Ada soalan & pendapat? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Baca Artikel Kami Yang Lain