Laporan Eksperimen Puan Khairulaniza Mengajar Pelajar Cina dan India yang ‘Buta 2M’ di dalam Kelas Corot

Inilah laporan Puan Khairulaniza….

Saya pasti tersenyum apabila mengenangkan anak-anak didik di kelas KP (kelas peralihan). Pada hari itu saya menguji mereka. Setiap seorang daripada mereka secara bergilir-gilir diminta supaya mengeja perkataan yang saya sebut.

Ada perkataan yang susah dieja namun ada perkataan yang mudah. Semuanya saya ambil daripada buku teks Bahasa Melayu mereka.

Semua pilihan perkataan yang diuji adalah bergantung kepada tahap kebolehan mereka. Untuk Zhi Kang dan Chi Heng tentunya saya berikan perkataan yang lebih mudah kerana mereka ini pelajar buta 2M. Tujuannya supaya self-esteem mereka naik apabila saya puji kerana dapat meneja dengan tepat.

Apabila ada pelajar yang tidak betul mengeja pula, saya tidak tegur kesalahan mereka. Saya ingin mencontohi Nabi Muhammad yang tidak menegur kesalahan seorang lelaki yang secara terbuka melakukan beberapa kesalahan secara terbuka di dalam masjid semasa orang lain sedang sembahyang.

Saya akan hanya menjatuhkan self-esteem pelajar saya andai saya kritik kesalahan mereka, apatah lagi jika ditegur secara terbuka. Sebab itu, saya tidak kritik mereka apabila mereka salah mengeja.

Saya tidak berkata, “Eja perkataan mudah pun kamu tidak tahu.”

Saya juga tidak berkata, “Kalau mengeja pun kamu tidak tahu, saya tidak tahulah bagaimana kamu hendak lulus peperiksaaan nanti.”

Kar Hau pelajar yang dalam kategori pandai jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar KP yang lain.

Jadi, saya sebutkan perkataan yang sedikit mencabar iaitu ‘masyarakat’.

Kata saya, “Kar Hau, kamu eja perkataaan ‘masyarakat’.”

Respon spontan Kar Hau, “Ayo.. susahlah cikgu.”

Kalau dulu mungkin saya akan berkata, “Bukan susahlah. Kenapa kamu kata susah? Kenapa kamu tidak mahu mencuba?” Tetapi sejak cuba mengaplikasikan teknik Nabi Muhammad, saya cuba elakkan diri saya daripada mengkritik pelajar.

Respon saya atas kata-kata Kar Hau hanyalah, “Eja ikut bunyi sebutan. Ma-sya-ra-kat!”

Saya pandang Kar Hau. Dia mula mengeja, “M-A.”

Saya sambung, “Sya!”

Kau Hau berkata, “S-A !”

Sebenarnya Kar Hau sudah salah eja tetapi saya tidak berkata, “Eh! Kar Hau, kamu sudah salah eja.” Dalam erti kata lain, saya tidak tegur kesalahannya.

Sebaliknya, segera saya sebut suku kata itu sekali lagi. Kata saya, “Sya! Bukan sa. Sya!”

Kar Hau mengangguk-angguk kepala.Dia sebut, “S-Y-A!”

Saya tersenyum. Saya kata, “Bagus! Teruskan.”

Kar Hau membalas, “K-A-T!”

Saya jawab, “Ok. Ulang balik ejaan tadi!”

Kar Hau pun mengeja semula, Katanya, “M-A-S-Y-A-R-A-K-A-T. Masyarakat.”

Saya senyum. Saya puji Kar Hau. Kata saya, “Bagus Kar Hau. Kamu boleh mengeja perkataan tersebut.”

Parimila memang tergolong juga dalam kumpulan pelajar Buta 2M. Mulanya saya sebut perkataan ‘lima’. Alhamdulillah! Dia boleh mengejanya. Kemudian, saya sebut pula perkataan doktor. Mulalah tergagap-gagap murid saya ini.

Saya pula yang ingin membantu menyebut semula dengan jelas suku kata perkataan tersebut.

Kata saya, “Dok!” Mulut saya punyalah muncung sampai nampak seperti muncung itik.

Pari pula cuba juga mengeja, “D-O-…D-O…” Masih juga tidak dapat dieja oleh Pari.

Jadi, saya bantu lagi. “D-O-K – dok!”

Pari tersenyum dan mengulang mengeja suku kata ‘dok’. Kemudian, saya mengangguk-angguk kepala. Saya tunggu lagi suku kata akhir dieja pula oleh Pari.

Kata Pari, “D-O-K-T-O…T-O…”

Melihatkan Pari susah sangat mengeja suku kata ‘tor’, saya sebut lagi suku kata tersebut.

Kata saya, “Tor! Tor! Tor!” Saya sebut satu persatu. Terasa seperti belajar ‘vokal’-lah pula.

Kalau orang lain yang lalu di luar kelas KP, tentunya kehairanan melihat dan mendengar kata-kata saya. Nasib baik juga tiada yang mengambil gambar saya sedang muncungkan mulut ketika menyebut suku kata tersebut.

Alhamdulillah, akhirnya Pari dapat juga mengeja perkataan doktor. Saya tersenyum. Pari pula nampak lega dan tersengih.

Saya berkata, “Bagus! Kamu dapat mengeja perkataan ‘doktor’.”

Dalam kes Pari, saya tidak menegur kesalahan mahupun mengkritik dirinya yang tidak tahu mengeja.

Saya tidak berkata, “Apalah kamu ini, eja doktor pun tidak tahu”

Saya juga tidak berkata, “Pari, kamu tidak boleh mengeja perkataan yang mudah.”

Saya hanya menggunakan Teknik Nabi Muhammad yang tidak menegur kesalahan tetapi menerangkan. Apabila Pari tidak dapat juga mengeja suku kata ‘dok’ dan ‘tor’, saya hanya sebut huruf yang betul (terangkan) iaitu huruf akhir setiap suku kata ialah ‘R’.

Mahu Belajar Lebih Lanjut Teknik Nabi Dalam Memimpin?

(KLIK Banner Di Bawah)

Ada soalan & pendapat? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Baca Artikel Kami Yang Lain