Laporan Eksperimen Puan Siti Khadijah Apabila Guru Tidak Menyiasat Punca Pelajar Melakukan Kesalahan

Laporan Eksperimen Puan Siti Khadijah:

23 Mac 2012: Pada petang itu, sebaik selesai mengajar subjek terakhir di dalam kelas 5 Ali, saya melalui kaki lima sekolah untuk kembali ke pejabat. Dalam perjalanan, ada seorang pelajar lelaki yang tidak saya kenali namanya memanggil. “Ustazah!”

Saya menoleh dan menjawab panggilan pelajar itu. Ketika memandang wajah pelajar yang memanggil, saya dapati seorang pelajar lelaki sedang berdiri di bawah panas matahari kaki lima sekolah. Dia ditemani oleh dua orang lagi rakannya.

Ada apa?”

Kerana tidak pasti siapa yang memanggil, saya bertanya kepada mereka secara rawak.

Cakaplah,” salah seorang daripada mereka menyuruh pelajar yang sedang berdiri di bawah bayang matahari petang itu bercakap.

“Cepatlah cakap. Ustazah tunggu itu,” seorang lagi rakannya turut menyuruh pelajar yang sama menyatakan tujuan mereka memanggil saya.

Pelajar yang dimaksudkan rakan-rakannya tadi kelihatan takut-takut. Matanya merah berair memandang wajah saya. Dia tidak bercakap sepatah pun ketika memandang wajah saya.

Barangkali ada sesuatu yang menyebabkan dia bersikap sedemikian, duga saya dalam hati. Lama kami berpandangan. Akhirnya pelajar itu mengalah dengan melarikan diri dari tempat dia sedang berdiri entah ke mana destinasinya tidak pula saya pasti.

Ustazah, dia kena denda. Ustazah Siti Aminah suruh dia ambil tandatangan semua guru sebab dia tidak hafal surah Al-Fajr.” Seorang rakannya menjelaskan tujuan mereka memanggil saya sebentar tadi.

Saya hanya mendiamkan diri mendengar patah-patah perkataan yang keluar daripada rakan pelajar tersebut. Jujur, saya simpati.

Saya amat yakin, bahawa self-esteem pelajar yang didenda sebentar tadi jatuh teruk berdasarkan tindakannya yang sukar untuk menjelaskan tujuan mereka memanggil saya dan perbuatan pelajar itu yang melarikan diri daripada terus berhadapan dengan saya.

Selepas itu, saya meneruskan langkah menuju ke pejabat tanpa bertanya atau menyiasat mengapa atau kenapa pelajar itu didenda sebegitu.

Ketika menyelesaikan urusan di pejabat, rakan-rakan pelajar yang didenda tadi datang ke pejabat dengan menyerahkan sehelai kertas bertulis ayat yang berbunyi, “Saya tidak hafal surah Al-Fajr” kepada saya supaya saya tandatangani. Pelajar yang didenda itu tidak kelihatan.

Saya meminta supaya pelajar tadi dipanggil berjumpa dengan saya. Tujuan saya hanya satu, saya mahu mengembalikan self-esteemnya yang telah jatuh, bukan mahu menyiasat dengan bertanya soalan-soalan seperti ini:

“Kenapa kamu tidak menghafal surah Al-Fajr?”

“Mengapa kamu didenda sebegini?”

Kenapa kamu perlu mengambil tandangan saya di atas kertas ini?”

Ketika pelajar itu datang kepada saya, belum pun sempat saya membuka mulut, dia menyatakan alasan mengapa dia didenda sambil dia menangis. “Saya tidak hafal surah Al-Fajr, ustazah, sebab itu saya perlu dapatkan tandangan semua guru sekolah ini,” katanya.

Sungguh, hati saya terusik melihat dan mendengar esak tangisnya. Saya tahan sebak yang mula mengepung jiwa sambil berkata, “Apakah boleh ustazah tahu, berapa ayat yang telah kamu hafal daripada keseluruhan ayat surah Al-Fajr?”

Saya hafal 11 ayat, ustazah. Ustazah Siti Aminah mahu saya hafal 30 ayat.”

Mendengar jawapannya, saya lalu menyambung lagi, “Bagus. Saya suka dan senang mendengar kamu sudah menghafal sehingga 11 ayat. Saya sangat yakin, sekiranya 11 ayat itu sudah mampu kamu hafal, tentu kamu juga akan mampu menghafal sehingga 30 ayat. Saya akan bantu mendoakan kamu.”

Sebaik mendengar kata-kata saya, wajah pelajar itu berubah seratus peratus.

Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan sangat yakin self-steemnya telah kembali naik.

Bayangkanlah sekiranya saya terus bertanya mengapa dan kenapa dia didenda dan tidak menghafal atau berleter menasihatinya kerana tidak menghafal, sudah tentu pelajar itu tidak akan menyalami tangan saya dan mengucapkan terima kasih sambil tersenyum dalam linangan air mata.

Hadith rujukan dalam eksperimen itu adalah hadith ’12 Malaikat’

Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca ‘Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.’

Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.”

Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”

– Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Nota: ‘Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.’ bermakna ‘Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh kebaikan.’

Mahu Belajar Lebih Lanjut Teknik Nabi Dalam Memimpin?

(KLIK Banner Di Bawah)

Ada soalan & pendapat? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Baca Artikel Kami Yang Lain