Lihatlah Bagaimana Tingginya Toleransi Nabi Terhadap Perbezaan Pendapat

Oleh: Ainon Mohd

Isu Semasa

Dalam amalan lazim, apabila kita mempunyai sesuatu pendapat yang kita yakini betul, kita akan terangkan pendapat kita itu. Kita akan buktikan pendapat kita betul.

Kita mahu orang lain faham mengapa pendapat kita itu betul, dan supaya mereka setuju dengan pendapat kita itu.

Apabila ada mana-mana pihak menentang pendapat kita, kita tidak dapat nak ambil sikap diam sahaja, tidak bercakap, tidak membela pendapat kita itu.

Kita mesti nak bercakap, nak bela pendapat kita sampai orang faham. Selagi orang tak faham, selagi itu kita akan bercakap.

Apabila orang tetap tidak mahu faham, tetap mengatakan pendapat kita salah, kita sanggup bermusuh dengan mereka atas nama membela kebenaran.

Dalam berdepan dengan orang-orang yang tidak sependapat dengan kita, kita tidak dapat hendak mengamalkan sikap toleransi dan co-existence.

Maka beginilah yang kita lakukan:

1. Kita tidak boleh hendak mendengar sahaja sambil diam apabila ada orang lain mengemukakan pendapat yang yang kita anggap salah.

2. Kita tak boleh nak ambil sikap masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Kita mesti nak respon.

3. Kita bercakap, kita komen, kita kritik, kita kutuk, dan kita ulas panjang lebar apa-apa pendapat yang kita anggap salah ataupun sesat.

4. Kita gunakan ilmu pengetahuan kita bagi membuktikan pendapat mereka itu mesti ditolak. Apabila sesuai, kita gunakan hadith dan ayat al-Quran bagi membuktikan idea orang itu salah.

5. Dalam zaman media sosial, kita menulis dalam media sosial, dan kita sanggup buat sesi live video atas nama menerangkan perkara yang salah itu.

6. Kita tidak boleh hendak mendengar sahaja orang memberi jawapan yang salah. Kita akan betulkan jawapannya itu.

7. Kita tidak boleh hidup selesa dengan mengamalkan prinsip co-existence dengan orang-orang yang tidak sefahaman, tidak sebulu, tidak semazhab, tidak sekepala dengan kita. Prinsip co-existence adalah prinsip hidup berbaik-baik dengan golongan yang berlainan fahaman.

8. Kita melabel mereka dengan label-label negatif seperti bodoh, bangang, jahil, sesat, kafir dan lain-lain label negatif.

9. Kita mengadakan majlis dialog dan debat dengan golongan yang tidak sepemikiran dengan kita. Kita akan buktikan fahaman mereka itu salah.

Ada sebuah hadith di mana Nabi menunjukkan cara yang betul kita membuat respon apabila mendengar orang mengemukakan idea dan pendapat yang salah, yang tidak sesuai diterima, yang bertentangan dengan idea dan pendapat kita sendiri.

Hadith ‘Bilal Baca Azan’

Abdullah bin Umar melaporkan, katanya: Semasa orang Islam dari Mekah baru tiba di Madinah, mereka berkumpul sementara menunggu masuknya waktu solat. Pada masa itu belum ada cara memanggil orang supaya solat. Pada suatu hari mereka berbincang perkara itu. Ada yang mencadangkan, “Gunakan loceng macam orang Kristian.” Ada yang mencadangkan, “Gunakan trompet tanduk, macam orang Yahudi.” Umar mencadangkan, “Bagaimana andai disuruh seorang lelaki supaya dia melaungkan panggilan azan?” Nabi berkata, “Wahai Bilal, berdirilah, dan laungkanlah panggilan azan.” – Sahih Muslim

Ulasan

Dalam hadith ‘Bilal Baca Azan’ itu ada dua cadangan idea yang extreme apabila dinilai dengan cara fikir orang Melayu yang Islamik pada masa sekarang. Dua idea itu adalah:

i. Idea supaya orang Islam “Gunakan loceng macam orang Kristian.” Orang Kristian membunyikan loceng bagi memanggil penganutnya datang ke Gereja.

ii. Idea supaya orang Islam “Gunakan trompet tanduk, macam orang Yahudi.” Pada zaman Nabi orang Yahudi Nabi meniup trompet bagi memanggil kaumnya supaya datang ke sinagog.

Dua idea yang dicadangkan itu adalah amalan dalam ritual agama Kristian dan agama Yahudi. Idea-idea itu dicadangkan supaya ditiru dan digunakan dalam ritual ibadah Islam iaitu bagi memanggil orang ramai supaya datang ke masjid dan solat berjemaah.

Seandainya pada hari ini, kita mendengar idea-idea macam itu dikemukakan kepada orang-orang Melayu yang Islamik, bagaimana agaknya respon golongan Islamik itu.

Namun, dalam hadith itu Nabi diam sahaja, sepatah perkataan pun beliau tidak respon, macam masuk telinga kiri keluar telinga kanan.

Dalam hadith ‘Bilal Baca Azan’ itu Nabi menunjukkan cara yang betul membuat respon apabila ada orang mengemukakan idea-idea yang sangat bertentangan dengan kepercayaan kita sendiri.

Dalam peristiwa itu dua orang mencadangkan supaya orang Islam meniru amalan dalam ritual agama-agama lain.

Beginilah cara-cara Nabi respon kepada dua cadangan itu:

1. Nabi cuma mendengar sahaja idea loceng dan idea trompet itu dikemukakan.

2. Nabi diam sahaja, tidak komen apa-apa. Nabi tidak beritahu apa pendapat beliau berkenaan idea loceng dan idea trompet itu.

3. Nabi tidak setuju dengan dua idea itu, tetapi Nabi tidak beritahu bahawa beliau tidak setuju. Dalam erti kata yang lain, apabila Nabi tidak setuju beliau diam.

4. Nabi tolak dua idea itu, tetapi Nabi tidak cakap bahawa beliau menolaknya. Nabi tolak dalam diam. Nabi juga tidak beritahu alasan kenapa beliau tolak dua idea itu. Dalam bahasa sekarang Nabi abaikan sahaja idea-idea itu.

5. Apabila Nabi terima idea lain, iaitu idea azan yang dikemukakan oleh Umar, Nabi tidak beritahu alasan kenapa kenapa terima idea Umar itu.

6. Nabi tidak juga memberitahu kelebihan idea azan dibandingkan dengan idea loceng dan idea trompet.

7. Nabi tidak memuji kepintaran Umar atas idea azan yang dikemukakannya.

8. Apabila Nabi menolak idea, beliau tidak beri alasan kenapa beliau tolak. Beliau tolak sahaja.

9. Apabila Nabi terima idea, beliau tidak beri alasan kenapa beliau terima. Beliau terima sahaja.

10. Kelebihan sikap Nabi yang diam apabila mendengar, menolak, ataupun menerima idea yang dikemukakan oleh orang-orang lain mempunyai banyak kelebihan:

i. Dengan tidak mengulas kelemahan dan kekurangan idea loceng dan idea trompet, Nabi tidak menimbulkan sebarang kesan negatif ke atas hubungan baik yang sedia ada. Contohnya, Nabi tidak melukai perasaan para penganut agama Kristian dan agama Yahudi.

ii. Dengan tidak menerangkan alasan kenapa beliau tolak idea loceng dan idea trompet, Nabi tidak memanjang-manjangkan cerita.

iii. Dengan menolak dalam diam, individu-individu yang ideanya ditolak tidak berasa malu.

iv. Dengan tidak memuji kebagusan idea Umar yang Nabi terima, mereka yang ideanya ditolak tidak berasa air muka mereka jatuh.

Lazimnya, apabila kita mendengar orang bercakap perkara yang salah, yang tidak betul, yang tidak bijak, kita akan betulkan cakap orang itu.

Kita akan terangkan di mana salahnya cakap orang itu. Tujuannya supaya orang itu tahu dia silap, dan apa kesilapannya.

Dalam sebuah hadith, Nabi menunjukkan prinsip tidak membuat sebarang respon kepada kata-kata seorang hamba perempuan yang memberi jawapan yang salah.

Hadith ‘Tuhan di Langit’

Muawiyah melaporkan, katanya: “Saya pernah mempunyai hamba perempuan yang menggembala kambing saya di Uhud dan di Jawaniah. Pada suatu hari saya buat pemeriksaan, saya dapati seekor kambing telah dimakan serigala. Saya pun manusia biasa, yang boleh marah sebagaimana mana orang lain marah. Saya tampar dia satu kali. Kemudian saya pun pergi berjumpa Nabi. Beliau anggap masalah saya itu masalah yang berat. Saya berkata, “Wahai Rasulullah, apakah saya patut bebaskan dia?” Nabi berkata, “Bawa dia ke sini.” Saya pun bawa hamba saya itu kepada Nabi. Beliau bertanya kepada hamba saya, “Di mana Allah?” Hamba saya menjawab, “Di langit.” Nabi bertanya lagi, “Siapa saya?” Dia menjawab, “Tuan adalah Rasul Allah.” Nabi pun berkata kepada saya, “Bebaskan dia. Dia perempuan beriman.” – Sahih Muslim

Ulasan

Dalam hadith ‘Tuhan di Langit’ Nabi bertanya soalan berkenaan dengan iman dan sifat Allah kepada seorang hamba perempuan kepunyaan Muawiyah.

Nabi bertanya: “Di mana Allah?”

Hamba Muawiyah itu menjawab: “Di Langit.”

Mendengar jawapan hamba itu, Nabi tidak komen apa-apa. Nabi diam sahaja. Nabi tidak kata betul. Nabi tidak kata salah.

Nabi tidak membetulkan jawapan hamba Muawiyah itu.

Sebaliknya, Nabi teruskan sesi soal jawab dengan bertanya soalan lain. Nabi bertanya kepada hamba itu: “Siapa saya?”

Hamba perempuan Muawiyah itu menjawab: “Tuan adalah Rasul Allah.”

Selepas mendengar jawapan hamba itu, Nabi berkata kepada Muawiyah, “Bebaskan dia. Dia perempuan beriman.”

SOP Berbeza Pendapat

1. Dengar sahaja orang itu bercakap dan mengemukakan cadangan, idea, dan pendapatnya.

2. Apabila tidak setuju dengan pendapat orang itu, diam sahaja. Jangan diulas, dikomen, ataupun dikritik pendapat orang itu.

3. Apabila menolak cadangan atau idea, tolak dalam diam. Jangan diberitahu kita tolak idea itu. Jangan diberitahu kenapa idea itu ditolak.

4. Apabila menerima cadangan ataupun idea, terima sahaja. Jangan diberitahu alasan kenapa cadangan ataupun idea itu diterima.

Kesimpulan

Sikap diam dan bertoleransi apabila mendengar idea dan pendapat yang salah mempunyai banyak kelebihannya. Yang paling utama, dengan mengamalkan prinsip diam kita dapat memelihara hubungan baik. Dengan memelihara hubungan baik kita menghindari timbulnya perbalahan, konflik, kebencian, perpecahan, dan permusuhan.

Share Artikel Ini.

Share on facebook
Share di Facebook
Share on whatsapp
Share di Whatsapp
Share on telegram
Share di Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *