Memberi Markah Dorongan, Bukan Markah Akademik Mengikut Teknik Nabi Muhammad

Ini contoh bab dalam buku “Mendorong Pelajar kelas Corot Menggunakan Teknik Nabi Muhammad” yang kini sedang ditulis….

BAB 6: Memberi Markah Dorongan, Bukan Markah Akademik

Hadith rujukan: ‘Markah untuk Salam’

Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.”

Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.”

Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.”

– Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Pengenalan:

Pada masa ini sekolah hanya menggunakan satu sistem pemarkahan. Dalam amalan sekarang markah diberikan ke atas kerja-kerja pelajar sebagai cara menilai prestasi akademik, di mana markah itu diberikan apabila pelajar berjaya menjawab soalan akademik dengan betul. Apabila jawapannya salah, markah ditolak.

Sistem pemarkahan akademik sekarang:

a. Antara 0 hingga 100
b. Antara F hingga A++

Teknik Nabi Muhammad:

Dalam teknik motivasi Nabi Muhammad, beliau menggunakan sistem pemarkahan yang fungsinya adalah sebagai alat mendorong orang supaya meningkatkan prestasi kualiti kerja yang mereka lakukan.

Dalam teknik motivasi Nabi Muhammad, markah diberikan bukan kerana sesuatu jawapan itu betul ataupun salah. Sebaliknya markah diberikan supaya orang terdorong mahu melakukan kerjanya dengan lebih baik lagi.

Dalam hadith ‘Markah untuk Salam’, Nabi Muhammad menunjukkan kepada sekumpulan orang 3 contoh teknik memberi salam yang betul. Satu diberi markah 10 pahala. Satu diberi markah 20 pahala. Satu diberi markah 30 pahala.

Jadi, orang-orang itu dapat melihat teknik memberi salam yang mana yang paling tinggi markahnya. Dengan itu mereka terdorong memberi salam dengan cara yang paling mendapat paling banyak pahala.

Dalam bilik darjah guru boleh umumkan kepada semua pelajar contoh-contoh hasil kerja yang layak diberi markah motivasi, bukan markah akademik. Sebagai contoh, jawapan itu salah, tetapi tulisannya kemas, lalu guru memberi markah 30 untuk tulisan itu.

Faedah memberi markah motivasi:

  1. Pelajar yang diberi markah motivasi akan naik semangat mahu meningkatkan kualiti kerjanya.
  2. Pelajar-pelajar lain yang mendengar rakannya diberi markah motivasi akan naik semangat mahu menghasilkan kerja seperti yang dipuji itu.

NOTA: Bab ini akan diikuti oleh bab-bab yang ditulis oleh Pn. Khairulaniza Khairuddin, Pn. Siti Khadijah dan Pn. Nurhidayah Jaafar di mana mereka menerangkan bagaimana mereka menjalankan eksperimen berdasarkan hadith itu, dan apa hasilnya.

Mahu Belajar Lebih Lanjut Teknik Nabi Dalam Memimpin?

(KLIK Banner Di Bawah)

Ada soalan & pendapat? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Baca Artikel Kami Yang Lain