Nabi Muhammad Melebih-lebihkan Pujian yang Diberikan

Muaz bin Jabal memberitahu bahawa beliau pernah bertanya kepada Nabi Muhammad: “Wahai Rasul Allah, terangkan kepada saya amalan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga.”

Nabi Muhammad berkata, “Bakh! Bakh! Sesungguhnya saudara telah bertanyakan suatu soalan yang agung. Ia menjadi mudah bagi sesiapa yang diberi kemudahan oleh Allah.

Lakukanlah sembahyang yang ditetapkan, dan bayarlah zakat yang diwajibkan.”

– Hadith ini direkodkan dalam Musnad Abu Daud.

Nabi Muhammad adalah seorang yang pandai mendorong orang supaya suka menadah ilmu daripada beliau. Salah satu strategi yang beliau gunakan adalah dengan mendorong orang supaya berani bertanya dan tidak malu bertanya.

Teknik yang digunakan adalah dengan memuji pertanyaan yang dikemukakan kepada beliau. Pujian yang diucapkan itu pula sangat besar.

Sebagai contoh, dalam hadith di atas Nabi Muhammad menggunakan perkataan ‘agung’ bagi memuji pertanyaan yang dikemukakan oleh Muaz bin Jabal, meskipun bagi orang yang berilmu soalan seperti itu mungkin dipersepsi sebagai biasa-biasa sahaja bunyinya.

Jawapan Nabi Muhammad kepada orang yang bertanya itu adalah: “Bakh! Bakh! Sesungguhnya saudara telah bertanyakan suatu soalan yang agung.

Ia menjadi mudah bagi sesiapa yang diberi kemudahan oleh Allah. Lakukanlah sembahyang yang ditetapkan, dan bayarlah zakat yang diwajibkan.”

Ayat jawapan Nabi Muhammad itu terdiri daripada 4 ayat. Tiga daripada 4 ayat itu adalah ayat pujian, manakala satu ayat adalah jawapan. Susunan jawapan itu pula, ayat-ayat pujian disebut dahulu, kemudian baru ayat jawapan.

Malah, Nabi Muhammad membuka jawapannya dengan mengucapkan kata seruan kekaguman: Bakh! Bakh!

Ayat 1. “Bakh! Bakh! = Kata seruan kagum.

Ayat 2. Sesungguhnya saudara telah bertanyakan suatu soalan yang agung. = Memuji perbuatan bertanya soalan yang agung.

Ayat 3. Ia menjadi mudah bagi sesiapa yang diberi kemudahan oleh Allah. = Memuji ciri soalan yang agung itu.

Ayat 4. Lakukanlah sembahyang yang ditetapkan, dan bayarlah zakat yang diwajibkan.” = Jawapan kepada soalan.

Dalam bilik darjah, kursus, bengkel dan seminar, banyak pelajar dan hadirin takut-takut dan malu-malu hendak mengangkat tangan dan bertanya kerana khuatir soalannya dianggap soalan bodoh.

Dalam hadith ini, Nabi Muhammad menunjukkan bahawa cara yang betul mendorong seseorang itu orang supaya tidak malu dan suka bertanya adalah dengan memuji pertanyaannya.

Mahu Belajar Lebih Lanjut Teknik Nabi Dalam Memimpin?

(KLIK Banner Di Bawah)

Ada soalan & pendapat? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Baca Artikel Kami Yang Lain