Strategi Politik-Psikologi Nabi Muhammad Menjaga Perpaduan dalam Barisan Kepimpinan

Abdullah bin Abi Aufa melaporkan bahawa Abdul Rahman bin Auf pernah mengadu kepada Nabi Muhammad tentang Khalid al-Walid.

Lalu Nabi Muhammad berkata kepada Khalid, “Wahai Khalid, janganlah saudara menyakiti lelaki yang menjadi anggota tentera Perang Badar. Andai kata saudara bersedekah dengan emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih tidak dapat menyaingi amalannya.”

Khalid al-Walid pun berkata, “Wahai Rasul Allah, mereka menuduh saya, sedangkan yang dimaksudkan adalah mereka.”

Nabi Muhammad berkata, “Janganlah menyakiti Khalid, sesungguhnya dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah ‘azza wa jalla. Allah menghantarkan dia bagi memerangi orang-orang kafir.”

– Hadith ini direkodkan dalam koleksi hadith-hadith autentik Ibn Hibban

Dalam sesebuah oragnisasi, sama ada parti politik, persatuan mahupun syarikat ada dua peringkat perpaduan:

1. Perpaduan dalam kalangan anggota barisan kepimpinan

Mereka yang berada dalam posisi barisan kepimpinan adalah tokoh-tokoh yang memegang jawatan-jawatan penting dalam organisasi.

Disebabkan jawatan-jawatan itu penting, maka lazimnya mereka yang terpilih mengisi jawatan-jawatan itu adalah individu-individu yang berbakat dan berpengaruh.

Menjaga perpaduan dalam barisan kepimpinan adalah sangat kritikal. Disebabkan mereka adalah individu-individu yang berpengaruh, apabila perpecahan berlaku dalam kalangan ini, perpecahan itu akan merebak ke dalam setiap lapisan anggota pertubuhan.

2. Perpaduan dalam kalangan anggota biasa

Golongan ini adalah anggota biasa, yakni mereka yang tidak mengisi jawatan-jawatan penting. Golongan ini lazimnya tidak memiliki bakat kepimpinan, dan tidak memiliki daya pengarauh yang tinggi.

Anggota-anggota biasa lazimnya mudah terpengaruh oleh individu-individu yang duduk dalam barisan kepimpinan. Apabila barisan kepimpinan berpecah, golongan ini pasti berpecah.

Khalid al-Walid dan Abdul Rahman bin Auf adalah dua nama besar dalam sejarah Islam. Kedua-duanya termasuk dalam senarai 10 orang yang dijamin masuk syurga. Hadith di atas melaporkan peristiwa apabila 2 orang tokoh itu berkonflik.

Bagi menamatkan konflik antara Khalid al-Walid dan Abdul Rahman bin Auf, Nabi Muhammad memberitahu mereka berdua bahawa masing-masing sama-sama tidak boleh disakiti.

Alasan yang diberitahukan adalah disebabkan mereka berdua sama-sama telah memberikan jasa yang besar kepada oragisasi, dalam hal mereka itu, jasa mereka adalah kepada perjuangan Islam.

Strategi Nabi Muhammad:

1. Mengalihkan pandangan kedua-dua pihak yang bermusuhan itu daripada melihat kelemahan dan kesalahan musuhnya kepada melihat kehebatan dan kemuliaan musuh.

Ini dilakukan supaya perasaan benci-membenci dialihkan kepada perasaan saling hormat-menghormati dan kagum-mengagumi.

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad memberitahu kehebatan dan kemuliaan Khalid al-Walid kepada Abdul Rahman bin Auf, dan menerangkan kehebatan dan kemuliaan Abdul Rahman bin Auf kepada Khalid al-Walid.

Kepada Khalid al-Walid Nabi Muhammad berkata:

“Wahai Khalid, janganlah saudara menyakiti lelaki yang menjadi anggota tentera Perang Badar. Andai kata saudara bersedekah dengan emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih tidak dapat menyaingi amalannya.”

Kepada Abdul Rahman bin Auf Nabi Muhammad berkata:

“Janganlah menyakiti Khalid, sesungguhnya dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah ‘azza wa jalla. Allah menghantarkan dia bagi memerangi orang-orang kafir.”

2. Menukar perasaan sakit hati dan benci terhadap musuhnya kepada perasaan menghormati, memuliakan dan mengagumi musuhnya.

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad sama sekali tidak bertanya tentang apa yang sebenarnya telah berlaku sehingga menyebabkan 2 orang tokoh itu sakit hati dan berkonflik.

Sebaliknya beliau menerangkan kehebatan masing-masing. Teknik yang beliau gunakan adalah menggantikan perasaan sakit hati kepada perasaan suka dan puas hati hasil menerima pujian daripada pucuk pimpinan.

3. Memperkenalkan peraturan interaksi sosial yang dikenakan ke atas kedua-dua belah pihak.

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad memberitahu Abdul Rahman bin Auf supaya tidak menyakiti Khalid dal-Walid, dan memberitahu Khalid al-Walid supaya tidak menyakiti Abdul Rahman bin Auf.

Mahu Belajar Lebih Lanjut Teknik Nabi Dalam Memimpin?

(KLIK Banner Di Bawah)

Ada soalan & pendapat? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Baca Artikel Kami Yang Lain