Teknik Bagaimana Nabi Muhammad Menangani Perasaan Tidak Puas Hati

Hadis rujukan:

Anas bin Malik adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Dia melaporkan suatu peristiwa yang dia pernah saksikan.

Menurutnya, pernah berlaku pada suatu masa ada dua orang lelaki bersin dekat dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berdoa untuk salah seorang daripada mereka berdua dengan ucapan, “Yaharmukallah.”

Manakala yang seorang lagi pula bersin tetapi tidak didoakan oleh Nabi Muhammad. Lelaki itu tidak puas hati lalu berkata, “Mengapakah apabila si polan bersin, tuan mendoakan dia, tetapi apabila saya bersin, tuan tidak mendoakan saya?”

Nabi Muhammad menjawab, “Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulillah.”

– Hadith No. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Analisis Hadith

Ganjaran yang diterima dari ketua adalah salah satu faktor yang dapat mencipta banyak kesan-kesan positif ke atas semangat kerja kerana ganjaran dapat menghasil kesan-kesan berikut:

  1. Orang yang menerima ganjaran itu berasa yakin sumbangannya diiktiraf sebagai penting oleh ketua.
  2. Penerima ganjaran berasa yakin dirinya dan pekerjaannya dihargai.
  3. Mereka mempunyai persepsi positif terhadap ketua.
  4. Ganjaran dapat meningkatkan self-esteem mereka yang menerimanya.

Namun ganjaran juga berfungsi sebagai salah satu punca timbulnya perasaan tidak puas hati. Malah ganjaran boleh menyebabkan mereka yang tidak diberi ganjaran berasa malu dan maruah mereka jatuh kerana dari satu sudut, tidak diberi ganjaran adalah suatu hukuman!

Pada dasarnya ganjaran adalah alat bagi meningkatkan motivasi kerja. Namun ganjaran yang diberikan kepada satu pihak boleh mencipta kesan-kesan negatif ke atas pihak-pihak lain.

Manakala pihak yang menerima ganjaran naik motivasinya namun yang lain-lain jatuh motivasi mereka.

Tujuan ganjaran diberikan adalah:

  1. Mendorong mereka yang diberi ganjaran itu supaya meneruskan dan meningkatkan lagi tingkah lakunya yang baik.
  2. Mendorong orang-orang lain yang tidak menerima ganjaran supaya ikut mencontohi apa yang dilakukan oleh mereka yang diberi ganjaran.

Strategi bagaimana Nabi Muhammad menggunakan ganjaran sebagai pendorong perubahan tingkah laku:

  1. Ganjaran diberikan apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan teknik yang betul.
  2. Bagi pekerja yang melakukan pekerjaan yang sama tetapi tekniknya salah, Nabi Muhammad mendorong dia supaya memperbaiki teknik kerjanya dengan menunjukkan kepadanya ganjaran yang diterima oleh orang lain yang melakukan kerja itu dengan teknik yang betul.
  3. Kepada pekerja yang melakukan kerja dengan teknik yang salah, berikut adalah strategi Nabi Muhammad mendorong dia mengubah sikap dan tingkah lakunya:

i. Orang itu tidak diberi ganjaran.

ii. Hasil kerjanya yang salah itu tidak dikritik.

iii. Orang itu tidak dihukum kerana tidak pandai membuat kerja dengan cara yang betul.

iv. Kesalahannya itu dibiarkan sahaja.

v. Dia diberi peluang melihat bagaimana orang lain yang membuat kerja dengan teknik betul menerima ganjaran.

vi. Apabila dia tidak puas hati, diterangkan kepadanya faktor yang menyebabkan orang lain diberi ganjaran dan mengapa dia tidak diberi ganjaran.

Hadith ‘Bersin’ adalah hadith yang paling jelas menunjukkan cara bagaimana Nabi Muhammad menangani perasaan tidak puas hati anak buahnya yang tidak menerima ganjaran.

Dalam hadith ini perasaan tidak puas hati timbul apabila ada 2 orang yang melakukan pekerjaan yang sama, tetapi ganjaran yang diterima dari ketua tidak sama.

Faktor-faktor yang menimbulkan perasaan tidak puas hati adalah:

  1. Orang itu yakin dia dan pihak yang satu lagi telah melakukan pekerjaan yang sama.
  2. Orang itu yakin dirinya berhak menerima layanan yang sama baik dengan layanan yang diterima oleh pihak yang satu lagi.
  3. Orang itu tidak tahu rasional di sebalik perbezaan layanan yang diberikan oleh ketua.

Kemahiran menangani perasaan tidak puas hati adalah sangat kritikal bagi mengekalkan produktiviti yang tinggi.

Orang yang tidak puas hati boleh melakukan perkara-perkara berikut:

  1. Menganggap ketuanya tidak adil, zalim, berat sebelah, memilih bulu.
  2. Berasa dirinya telah dianiaya oleh ketua.
  3. Dia akan bercerita kepada rakan-rakan sekerjanya dan menghasut mereka supaya membenci ketua.
  4. Dia membenci rakan sekerja yang menerima ganjaran lebih dan memfitnah raknnya itu menerima ganjaran lebih kerana pandai menggunakan cara-cara yang tidak beretika bagi menyukakan hati ketua.
  5. Semangat dan motivasi kerjanya jatuh menyebabkan produktivitinya jatuh.
  6. Dia menyebabkan berlakunya pecah-belah dan fenomena berpuak-puak dalam kalangan rakan-rakan sekerja.
  7. Dia berasa kecil hati lalu menjauhkan diri dari ketua, dan tidak mahu memberikan kerjasama dan sokongan kepada ketua.
  8. Dia mungkin memburuk-buruk oragnisasinya kepada orang luar.
  9. Dia mungkin keluar, tarik diri ataupun berhenti kerja dan mencari pekerjaan di tempat lain.

Dalam kes hadith ini, ada 2 orang yang sama-sama bersin. Yang satu didoakan oleh Nabi Muhammad, manakala yang seorang lagi tidak.

Pihak yang tidak menerima doa itu telah menyuarakan perasaan tidak puas hatinya dengan bertanya kepada Nabi Muhammad mengapa yang seorang itu didoakan tetapi dirinya tidak didoakan.

Cara memberikan respon yang betul kepada orang yang tidak puas hati adalah dengan menerangkan peraturan yang ada di sebalik ganjaran yang diberikan.

Nabi Muhammad berkata: “Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulillah.”

Apabila menangani perasaan tidak puas hati, beberapa perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad adalah:

  1. Nabi Muhammad tidak memberi ganjaran kepada orang yang melakukan pekerjaan tetapi tekniknya salah. Tetapi orang itu tidak juga dikritik, setakat didiamkan sahaja. Strategi ini sangat penting.
  2. Dalam hadith ini Nabi Muhammad menunjukkan bagaimana orang yang tidak diberi ganjaran tidak boleh dijatuhkan maruahnya.
  3. Bagi menjaga maruah orang yang tidak diberi ganjaran, Nabi Muhammad melakukan perkara-perkara berikut:

i. Nabi Muhammad tidak memarahi orang yang tidak puas hati itu dengan berkata:

  • “Kenapa? Kamu cemburu?” (SALAH)
  • “Kamu jangan dengki.” (SALAH)
  • “Tidak baik kamu iri hati.” (SALAH)
  • “Kamu memang suka komplen.” (SALAH)

ii. Nabi Muhammad tidak menasihati orang yang tidak puas hati itu dengan berkata:

  • “Buat kerja kamu elok-elok.” (SALAH)
  • “Kalau kamu hendak saya doakan, kamu buatlah macam dia.” (SALAH)
  • “Kamu kenalah perbaiki cara kerja awak.” (SALAH)
  • “Buat kerja kamu dengan penuh tanggungjawab.” (SALAH)

iii. Nabi Muhammad tidak membanding-bandingkan orang yang tidak puas hati itu dengan orang yang menerima ganjaran dengan berkata:

  • “Kerja dia elok. Kerja kamu buruk!” (SALAH)
  • “Dia pandai buat kerja. Kamu tak pandai.” (SALAH)
  • “Dia layak menerima ganjaran. Kamu tidak layak.” (SALAH)
  • “Lain kali awak kenalah buat kerja elok-elok macam Si Fulan, barulah saya beri awak ganjaran macam dia juga.” (SALAH)

iv. Nabi Muhammad tidak mengkritik orang yang tidak puas hati itu dengan berkata:

  • “Cara kamu bersin itu salah.” (SALAH)
  • “Kerja kamu tidak berkualiti.” (SALAH)
  • “Betulkan cara kerja kamu.” (SALAH)
  • “Sikap awak itu tidak betul. Awak mahu supaya saya beri ganjaran, tetapi kerja awak tidak semenggah!” (SALAH)

Nabi Muhammad adalah seorang ketua. Salah satu tugas ketua adalah memberi ganjaran kepada anak-anak buahnya apabila mereka melakukan kerja dengan cara yang betul.

Ganjaran yang diberikan oleh ketua boleh menyebabkan timbulnya perasaan tidak puas hati kepada yang tidak menerima ganjaran.

Perkara ini berlaku disebabkan mereka tidak mengetahui kriteria yang digunakan oleh ketua apabila memberikan ganjaran kepada anak-anak buahnya.

Mahu Belajar Lebih Lanjut Teknik Nabi Dalam Memimpin?

(KLIK Banner Di Bawah)

Ada soalan & pendapat? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Baca Artikel Kami Yang Lain