Teknik Komunikasi Persuasif Nabi Muhammad Apabila Bercakap Tentang Informasi Lama

Hadith ‘Sehelai Bulu Seladang’

Abdullah bin Mas’ud melaporkan pada suatu masa beliau dengan sekitar 40 orang lelaki lain bersama-sama Nabi Muhammad berada di bawah khemah yang diperbuat daripada kulit.

Nabi Muhammad berkata,

“Sukakah saudara-saudara menjadi seperempat daripada semua penduduk syurga?” Mereka semua menjawab, “Ya.”

Nabi Muhammad berkata lagi, “Sukakah saudara-saudara menjadi sepertiga daripada semua penduduk syurga?” Mereka semua menjawab, “Ya.”

Lalu Nabi Muhammad berkata, “Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di dalam genggamannya, sesungguhnya saya mahukan saudara-saudara menjadi separuh daripada semua penduduk syurga. Sedangkan syurga itu hanya dapat dimasuki oleh jiwa yang muslim.

Dan, perbandingan antara saudara-saudara dengan mereka yang menyembah berhala adalah umpama sehelai bulu putih pada kulit seekor seladang hitam, ataupun umpama sehelai bulu hitam pada kulit seekor seladang putih.”

– Hadith No. 102 dalam buku Ringkasan Sahih Muslim

Dalam aktiviti berdakwah, salah satu fungsi komunikasi adalah mengulang-ulang perkara yang sangat penting, yang sudah diketahui oleh target, dengan tujuan supaya perkara penting itu tidak dilupai oleh target.

Isu masuk syurga adalah isu penting yang semua orang sudah tahu. Informasi yang sudah diketahui disebut sebagai ‘informasi lama’. Informasi lama tidak mempunyai daya pengaruh, oleh itu tidak disukai oleh pendengar.

Informasi berkenaan syurga dan syarat-syarat kelayakan memasuki syurga juga sudah diketahui oleh umum, oleh itu ia adalah informasi lama.

Nabi Muhammad banyak mengulang-ulang perkara penting yang sudah diketahui oleh para sahabat karib beliau, yakni bercakap tentang informasi lama.

Apabila Nabi Muhammad bercakap tentang perkara yang sudah diketahui umum, yakni informasi lama, kata-kata beliau tidak mencipta kesan seperti:

  1. Pendengar berasa diri mereka diajar-ajar dan diperbodoh.
  2. Pendengar berasa diri mereka dileteri.
  3. Pendengar berasa maruah mereka dijatuhkan.
  4. Pendengar berasa diri mereka dituduh tidak melakukan apa yang disebut.

Hadith di atas adalah contoh komunikasi persuasif Nabi Muhammad apabila bercakap kepada sahabat-sahabat karib beliau.

Dalam hadith ini Nabi Muhammad mendorong para sahabat supaya mahu menjadi penduduk syurga, sedangkan para sahabat adalah individu-individu yang sudah tahu berkenaan syurga dan mereka mempunyai komitmen yang tinggi mahu menjadi penduduk syurga.

Dalam hadith ini, Nabi Muhammad menerangkan kehendak beliau supaya semua sahabat dapat masuk syurga. Dalam hadith ini beliau bercakap kepada mereka tentang syurga dengan menggunakan ayat-ayat yang sahabat tidak pernah dengar sebelumnya.

Jadi, hadith ini menunjukkan cara yang betul apabila mengulang isu lama adalah dengan menggunakan ayat-ayat baru, iaitu ayat-ayat yang belum pernah didengar oleh target, oleh itu belum terakam dalam memori target.

TEKNIK: Bercakap tentang ISU LAMA menggunakan AYAT BARU.

Mahu Belajar Lebih Lanjut Teknik Nabi Dalam Memimpin?

(KLIK Banner Di Bawah)

Ada soalan & pendapat? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Baca Artikel Kami Yang Lain