Teknik Mendorong Staff Berfikir

SITUASI: Di tempat kerja, banyak berlaku masalah. Banyak ketua mengeluh. Anak-anak buah dan orang bawahan tidak mahu menolong mereka berfikir mencari solusi. Apabila ada problem, mereka hanya melaporkan problem itu kepada ketua dan menunggu arahan. Semua problem, ketua-ketua yang perlu berfikir dan mencari solusinya. Anak-anak buah dan orang bawahan tidak mahu membantu berfikir dan selesaikan sendiri problem di tempat kerja mereka.

Dalam bisnes, perkara yang sama berlaku. Semua problem si towkay yang perlu mencari solusinya. Dalam hal-hal kecil sekalipun, pekerja hanya melaporkan sahaja hal itu kepada towkay. Mereka tidak mahu memikirkan solusinya, padahal problem itu menyusahkan pekerjaan mereka sendiri. Situasi macam itu menambahkan beban mental ketua-ketua dan majikan.

Nabi Muhammad ada menunjukkan cara-cara bagaimana ketua-ketua dapat mendorong anak-anak buahnya supaya suka berfikir mencari solusi.

Dalam koleksi hadith oleh Imam Muslim, ada catatan berkenaan suatu peristiwa bagaimana anak-anak buah Nabi Muhammad berfikir dan mencipta solusi bagi menyelesaikan suatu masalah dalam kerja-kerja jenis operasi harian.

Peristiwa itu dilaporkan oleh sahabat Nabi yang bernama Abdullah bin Umar. Beliau melaporkan, katanya: Semasa orang Islam dari Mekah baru tiba di Madinah, mereka berkumpul sementara menunggu masuknya waktu solat. Pada masa itu belum ada cara memanggil orang supaya solat. Pada suatu hari mereka berbincang perkara itu. Ada yang mencadangkan, “Gunakan loceng macam orang Kristian.” Ada yang mencadangkan, “Gunakan trompet tanduk, macam orang Yahudi.” Umar mencadangkan, “Bagaimana andai disuruh seorang lelaki supaya dia melaungkan panggilan azan?” Nabi berkata, “Wahai Bilal, berdirilah, dan laungkanlah panggilan azan.”

Dalam bahasa pengurusan modern hari ini, peristiwa ‘Bilal Baca Azan’ itu sama dengan aktiviti brainstorming. Dalam peristiwa itu anak-anak buah Nabi secara sukarela berfikir dan mencipta idea azan. Nabi tidak menyuruh mereka berfikir. Mereka berfikir sendiri, dan mereka mencipta solusi sendiri.

Dalam peristiwa itu, orang besar dan orang-orang kecil sama-sama berfikir. Ada dua orang kecil dan satu orang besar berfikir. Umar dalam hadith itu adalah Umar al-Khattab, seorang orang besar. Manakala dua orang lagi itu adalah orang-orang kecil, hal itu kerana Abdullah bin Umar pun tidak tahu nama-nama mereka.

APLIKASI

Apakah yang Nabi lakukan yang membuat orang-orang kecil pun dalam kalangan anak-anak buahnya secara sukarela mahu berfikir dan membantu ketua mereka menyelesaikan problem operasi harian?

Dalam peristiwa itu, Nabi menunjukkan cara mendorong orang-orang kecil berfikir. Apabila orang kecil mengemukakan idea mereka, inilah yang beliau lakukan:

1. Apabila orang kecil bercakap, Nabi sebagai ketua hanya mendengar dengan diam sahaja. Sepatah pun Nabi tidak bercakap.

2. Nabi tidak mengulas cakap orang-orang kecil. Nabi tidak kata idea mereka betul. Nabi tidak kata idea mereka salah. Nabi diam.

3. Biarpun orang-orang kecil mengemukakan idea yang tidak bermutu, Nabi tidak mempersoal mutu idea mereka. Nabi diam.

4. Nabi menilai idea orang-orang kecil dalam diam. Nabi tidak menerangkan pendapatnya berkenaan mutu idea yang dikemukakan oleh orang-orang kecil itu.

5. Apabila menolak idea dari orang kecil, Nabi menolak idea mereka dalam diam. Nabi tidak beritahu bahawa idea mereka ditolak.

6. Apabila Nabi menolak idea, Nabi tolak sahaja. Nabi tidak terangkan alasan beliau menolak idea-idea mereka.

Teknik Nabi dalam peristiwa ‘Bilal Baca Azan’ itu sangat berbeza dengan amalan lazim ketua-ketua pada zaman sekarang ini. Apabila orang kecil bercakap, ketua-ketua akan respon, akan ulas, akan kritik pendapat dan cadangan orang-orang kecil itu. Amalan macam itu Nabi tidak lakukan. Nabi dengar sahaja dalam diam. Nabi nilai idea-idea mereka dalam diam. Nabi tolak idea mereka dalam diam. Habis di itu.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *