Teknik Nabi Muhammad Membetulkan Kesilapan Teknikal dalam Menjalankan Ibadat

Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami melaporkan, katanya: “Sewaktu saya sedang bersembahyang bersama-sama Nabi Muhammad, tiba-tiba salah seorang daripada jemaah bersin. Saya pun mengucapkan ‘Yarhamuka Allah’.

Lalu semua orang memandang saya. Saya pun berkata, “Saya sungguh kesal, apakah yang menyebabkan kalian memandang saya?”

Itu menyebabkan mereka menepuk paha dengan tangan mereka. Apabila saya pandang mereka, saya pun faham mereka mahu supaya saya diam, lalu saya pun diam.

Apabila Rasulullah selesai solat, demi ayah dan ibu, saya tidak pernah melihat seorang guru, sama ada sebelum ataupun selepas Rasulullah, yang lebih baik mengajar daripada beliau. Demi Allah, beliau tidak memarahi, memukul ataupun mengkritik saya.

Beliau hanya berkata: “Sesungguhnya semasa sembahyang solat, tidak boleh mengucapkan apa-apa komunikasi dengan manusia. Sesungguhnya, ucapan yang sesuai itu adalah tasbih, takbir dan membaca al-Quran.”

– Hadith ini terdapat dalam koleksi hadith autentik Bukhari dan koleksi Abu Daud.

Semasa peristiwa ini berlaku, Muawiyah bin Hakam baru sahaja memeluk Islam.

Analisis Hadith

Dalam peristiwa itu, Muawiyah melakukan kesilapan teknikal. Dia bercakap semasa sedang bersembahyang.

1. Nabi Muhammad dapat mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Muawiyah, yakni beliau tahu ada orang melakukan kesilapan teknikal.

2. Sebaik-baik selesai sembahyang Nabi Muhammad terus membetulkan kesilapan teknikal itu.

3. Beliau tidak menyiasat siapa yang melakukan kesilapan itu dengan bertanya: “Siapa tadi yang saya dengar bercakap-cakap semasa kita sedang solat?”

4. Nabi Muhammad hanya menerangkan peraturan sembahyang di mana beliau memberitahu jenis kata-kata yang boleh disebut, dan yang tidak boleh disebut, semasa sedang bersembahyang.

5. Nabi Muhammad tidak menujukan secara spesifik tegurannya kepada Muawiyah. Kata-katanya ditujukan kepada semua orang yang hadir pada masa itu.

6. Strategi pendidikan Nabi Muhammad dalam peristiwa ini:

i. Kepada orang yang melakukan kesilapan disebabkan dia tidak tahu peraturan, cara membetulkan kesilapannya adalah dengan menerangkan peraturan itu.

ii. Kesilapan dilakukan oleh SATU individu, tetapi penerangannya ditujukan kepada SEMUA individu.

Nota: Yarhamuka Allah = Semoga Allah merahmati kamu.

Mahu Belajar Lebih Lanjut Teknik Nabi Dalam Memimpin?

(KLIK Banner Di Bawah)

Ada soalan & pendapat? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Baca Artikel Kami Yang Lain