Teknik Nabi Muhammad Menegur Orang Alim yang Melakukan Kesalahan di Hadapan Khalayak Ramai

Hadith ‘Orang Baik Menolong Syaitan’

Abu Hurairah melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki peminum arak dibawa ke hadapan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata, “Pukul dia.”

Abu Hurairah melaporkan lagi, ada sebahagian orang yang ada di situ memukul lelaki itu dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar, ada yang memukul dengan baju.

Apabila hukuman seslesai dijalankan, ada seseorang berkata, “Moga-moga Allah merendahkan kamu!” Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad berkata, “Jangan kata begitu, saudara menolong syaitan menguasai dirinya.”

– Hadith No. 2159 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari

Analisis Hadith

Hadith ini adalah hadith yang jelas menunjukkan teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila beliau menegur seorang alim yang melakukan kesalahan di khalayak ramai.

Lelaki yang ditegur oleh Nabi Muhammad itu adalah lelaki yang baik agamanya berdasarkan:

a. Lelaki itu mengetahui hukum agama, dalam kes ini dia tahu hukum minum arak.

b. Dia sendiri tidak minum arak.

c. Dia membenci peminum arak.

d. Dia tidak menyembunyikan kebenciannya terhadap perbuatan meminum arak.

Kesalahan yang dilakukan oleh lelaki alim itu adalah:

a. Lelaki itu mengutuk seorang yang buruk akhlaknya dan melakukan dosa besar, iaitu minum arak.

b. Kesalahan lelaki alim itu adalah dia mengucapkan kata-kata yang tidak disetujui oleh Nabi Muhammad.

c. Dalam kata-katanya itu dia mendoakan perkara buruk untuk seorang yang telah menjalani hukuman atas kesalahan meminum arak.

d. Dia menyebut doa buruknya itu dengan kuat dan secara terbuka sehingga dapat didengar oleh orang lain: (i) Abu Hurairah, yang melaporkan peristiwa itu, (ii) Nabi Muhammad.

e. Berdasarkan fakta bahawa doa buruknya itu dapat didengar oleh Nabi Muhammad dan Abu Hurairah, maka kita yakin doanya itu juga dapat didengar oleh orang-orang lain yang ada di tempat kejadian itu.

f. Doanya itu juga dapat didengar oleh penimum arak yang menjalani hukuman itu.

Teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila menegur orang alim itu:

a. Nabi Muhammad menegur lelaki alim itu serta-merta.

b. Nabi Muhammad menegur secara terus terang, tanpa berlapik-lapik ataupun menyindir sipi-sipi.

c. Lelaki alim itu melakukan kesalahannya terbuka, lalu Nabi Muhammad menegurnya secara terbuka. (Abu Hurairah yang mendengar kata-kata buruk yang diucapkan oleh lelaki itu juga dapat mendengar kata-kata teguran Nabi Muhammad.)

d. Ayat teguran Nabi Muhammad: “Jangan kata begitu, saudara menolong syaitan menguasai dirinya.”

Ayat ini terdiri daripada 2 ayat:

i. Ayat larangan: “Jangan kata begitu.” Ayat ini menerangkan dengan spesifik perbuatan yang dilarang, yakni tidak boleh mengucapkan kata-kata: “Moga-moga Allah merendahkan kamu!”

ii. Ayat penerangan: “Saudara menolong syaitan menguasai dirinya.” Ayat ini menerangkan akibat buruk kesalahan yang akan berlaku akibat kata-kata yang diucapkan oleh lelaki itu.

Nota: Hadis ini menerangkan mengapa perbuatan mengutuk orang yang akhlaknya buruk adalah kesalahan yang serius dan ia ditegah oleh Nabi Muhammad.

Mahu Belajar Lebih Lanjut Teknik Nabi Dalam Memimpin?

(KLIK Banner Di Bawah)

Ada soalan & pendapat? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Baca Artikel Kami Yang Lain