Teknik Nabi Muhammad Mengajak Orang Menjalankan Tugas yang Baik, Besar, Berat dan Berbahaya

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jabir bin Abdillah melaporkan bahawa pada hari berlakunya Perang Khandaq, Nabi Muhammad telah mengumumkan panggilan perang, lalu Zubair bin Awam menyahut panggilan perang itu.

Selepas itu, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu. Kemudian, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu.

Lalu Nabi Muhammad berkata, “Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela, dan pembela saya adalah Zubair.”

– Hadith nombor 1643 dalam kitab Ringkasan Sohih Muslim

Dalam peristiwa ini Nabi Muhammad mahu mendorong sekumpulan orang supaya ikut beliau menjalankan suatu pekerjaan yang baik, besar, berat, dan berbahaya, yakni berperang.

Beliau pun membuat pengumuman penting kepada semua yang ada dan beliau mengajak mereka ikut beliau pergi berperang. Nabi Muhammad membuat pengumuman perang itu sebanyak 3 kali.

Zubair menyambut panggilan perang Nabi Muhammad sebanyak tiga kali. Itu menjadi ukuran ketinggian semangat kerja dan komitmen yang ditunjukkan oleh Zubair.

Nabi Muhammad memuji Zubair dengan memberikan gelaran kepadanya. Kata Nabi Muhammad: “Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela, dan pembela saya adalah Zubair.”

Pada waktu itu kerja berperang baru sedang hendak dimulakan, yakni masih dalam fasa perancangan.

Dalam erti kata lain, gelaran besar sudah diberikan kepada pekerja yang komitmennya sangat tinggi meskipun dia belum mula menjalankan kerja itu, semata-mata berdasarkan semangat tinggi yang ditunjukkannya.

Dalam mendorong mereka supaya ikut beliau berperang, Nabi Muhammad tidak melakukan perkara-perkara berikut:

i. Nabi Muhammad tidak mengajak-ajak, dengan berkata:

  • “Jom kita pergi perang.” (SALAH)
  • “Marilah ikut saya menentang musuh Allah.” (SALAH)

ii. Nabi Muhammad tidak mencabar mereka, dengan berkata:

  • “Siapa anak jantan?” (SALAH)
  • “Siapa tak takut mati?” (SALAH)

iii. Nabi Muhammad tidak menjanjikan sebarang ganjaran, dengan berkata:

  • “Siapa mahu dapat bidadari?” (SALAH)
  • “Siapa mahu ikut saya masuk syurga?” (SALAH)

iv. Nabi Muhammad tidak mengugut mereka yang tidak mahu ikut serta, dengan berkata:

  • “Siapa tidak mahu berperang ke jalan Allah, dia munafik.” (SALAH)
  • “Jangan sangka kamu tidak mati kalau kamu tidak ikut saya berperang.” (SALAH)

v. Nabi Muhammad tidak menyatakan kekecewaan jika ada yang tidak mahu ikut serta, dengan berkata:

  • “Saya kecewa dengan kamu semua.” (SALAH)
  • “Kalau betul kamu sahabat saya, kamu takkan kecewakan saya.” (SALAH)

vi. Nabi Muhammad tidak memaksa-maksa mereka supaya ikut serta, dengan berkata:

  • “Jangan jadi pengecut.” (SALAH)
  • “Tunjukkan kamu anak jantan.” (SALAH)

vii. Nabi Muhammad tidak memuji-muji mereka yang mahu ikut serta, dengan berkata:

  • “Saya bangga dengan anda semua.” (SALAH)
  • “Kamu semua adalah tentera Allah. Hebat!” (SALAH)

viii. Nabi Muhammad tidak menyuruh orang-orang lain mencontohi Zubair, dengan berkata:

  • “Jadikan Zubair idola.” (SALAH)
  • “Zubair adalah contoh terbaik.” (SALAH)

ix. Nabi Muhammad tidak mengutuk mereka yang lambat menyahut panggilan perangnya, dengan berkata:

  • “Tidak yakin dengan janji Allahkah?” (SALAH)
  • “Kenapa lambat jawab? Takut matikah?” (SALAH)

Salah satu faktor yang mendorong orang suka bekerja di bawah pimpinan Nabi Muhammad adalah sikap beliau yang murah dengan puji-pujian.

Kata-kata pujian berfungsi sebagai ganjaran sosial. Ganjaran sosial mempunyai kuasa dorongan yang jauh lebih tinggi daripada ganjaran kebendaan atau ganjaran material.

Mahu Belajar Lebih Lanjut Teknik Nabi Dalam Memimpin?

(KLIK Banner Di Bawah)

Ada soalan & pendapat? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Baca Artikel Kami Yang Lain